Keadilan tidak boleh lagi mengharapkan "nasib akan terus menyebelahinya" kali ini dengan berangan-angan untuk menawan Selangor dalam dalam pilihanraya umum akan datang, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib hari ini.

"Keadilan mesti berpijak di bumi nyata, Malah, saya percaya kerusi yang dimenangi Keadilan di Selangor pun akan terlepas semula kepada Barisan Nasional," kata beliau yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor.

Pembangkang mempunyai enam Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, iaitu satu kerusi Keadilan yang dimenangi oleh Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali di Hulu Klang, empat DUN PAS dan seorang DUN DAP.

"Keadilan tidak seperti dalam tahun 1999 di mana ketika itu, ia boleh menggunakan pelbagai sentimen dan kelebihan untuk mendapatkan sokongan," kata Taib kepada malaysiakini .

Bagaimanapun, tegasnya, hari ini Keadilan sudah kehilangan arah "seperti kapal yang belayar tanpa angin", walaupun ada golongan yang terpelajar yang cuba mengendalikan parti itu sekarang.

Masalah kewibawaan

"Hanya dengan mempunyai orang yang berkaliber dan berkelulusan tinggi sahaja tidak bererti rakyat akan memberi sokongan kepada mereka. Rakyat hendak tengok juga apakah dasar dan perjuangan mereka," kata Taib.

Terbitan terbaru Berita Keadilan , akhbar rasmi parti Keadilan, melaporkan bahawa parti itu menjadikan Selangor sebagai sasaran utamanya dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Dalam laporan itu, Azmin mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Mohd Khir Toyo, tidak berupaya menjalankan tugasnya kerana dikata menghadapi pelbagai masalah kewibawaannya sebagai seorang pemimpin di Selangor.

Lagi pula, kata Azmin, komposisi penduduk Selangor - 47.2 peratus Melayu, 29 peratus China, dan 6.7 peratus bangsa lain adalah seiras dengan komposisi penduduk Malaysia, iaitu Melayu (47%), Cina (24.3 %) dan 14.4 peratus bangsa lain.

Menurut Taib, Keadilan bukanlah sebuah parti yang berasas perjuangan orang Melayu, tetapi parti pelbagai kaum.

"Di mana juga ada pilihanraya kecil, parti ini berebut hendak mendapatkan tempat dengan menggunakan pendekatan parti pelbagai kaum, walaupun sebenarnya ia tidak ada dasar perjuangan yang konkrit," katanya.

Sambutan menggalakkan

Katanya, beliau dapat merasakan "denyutan" masyarakat, di bandar dan luar bandar, di Selangor yang sudah kembali menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Saya tidak nampak Keadilan semakin kuat. ... sebenarnya Keadilan semakin lemah dan ramai ahlinya sudah menyertai Umno. Daripada acara dan sambutan kepada gerak kerja yang kita laksanakan, kita yakin sebahagian besar orang Melayu sudah kembali menyokong Umno dan BN di Selangor.

"Malah, saya percaya kerusi yang dimenangi Keadilan di Selangor pun kemungkinan akan hilang. Kemungkinan besar, selepas pilihanraya umum akan datang, Keadilan tidak menang satu kerusi pun di Selangor.

Menurut Taib, Keadilan kini sedang tercari-cari formula untuk terus hidup kerana nasib hanya menyebelahi parti itu pada tahun 1999.

Katanya, ini termasuk usaha Barisan Alternatif (BA) untuk menubuhkan sebuah parti politik yang baru untuk menghadapi BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Semalam, malaysiakini memetik Setiausaha Agung Keadilan, Sahri Bahri sebagai berkata pihaknya hanya memerlukan tujuh ahli untuk mendaftar parti berkenaan di bawah satu logo.