Pergerakan Pemuda Umno hari ini mengingatkan Pengerusi DAP Lim Kit Siang, agar tidak terus mempertikaikan pelaksanaan sistem kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berdasarkan merit yang nampaknya kian menjurus ke arah perkauman.

Pengerusi Biro Pendidikan pergerakan tersebut, Dr Adham Baba, berkata reaksi pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan sistem yang baru dilaksanakan itu, bolehlah dianggap sebagai usaha untuk menggagalkan peluang pelajar Bumiputera memasuki IPTA.

"Hakikatnya, pelajar Bumiputera tidak mendapat apa-apa kelebihan daripada pelaksanaan sistem merit ini, kerana dari 34,489 yang memohon melalui Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau kelayakan yang setaraf, cuma 22,557 atau 65 peratus yang mendapat tempat, manakala 11,932 lagi terpinggir (walaupun layak)," katanya kepada malaysiakini .

Katanya, ini adalah berbeza dengan pelajar kaum Cina, di mana kadar kejayaan mereka jauh lebih tinggi iaitu 82 peratus, apabila 8,665 daripada 10,553 pemohon yang layak, berjaya mendapat tempat.

Manakala peratusan kejayaan bagi bagi kaum India juga tidak kurang baiknya, iaitu 60 peratus, dengan 1,350 daripada 2,537 pemohon yang berkelayakan, berjaya memasuki IPTA, kata Dr Adham.

"Oleh itu, adalah tidak wajar bagi membangkitkan isu perkauman dengan mengatakan sistem merit ini memberikan kelebihan kepada kaum Bumiputera, hanya kerana sebahagian dari mereka mengikuti program Matrikulasi," tegasnya.

"Masalahnya, jumlah pemohon kaum Cina dan India adalah kecil, sehingga mereka mungkin tidak dapat mengekalkan kuota (45 peratus) sepertimana yang diberikan dahulu, walaupun jika semua yang layak diterima masuk ke IPTA," tambahnya.

Terus meruncing

Untuk mengelakkan isu ini terus meruncing, Dr Adham mengingatkan pihak-pihak yang tidak berpuas hati agar memperincikan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan minggu lepas.

Malahan, katanya, kemasukan pelajar ke IPTA berdasarkan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jelas dimonopoli bukan Bumiputera, di mana mereka memperolehi 52.7 peratus daripada 2,690 tempat yang disediakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), walaupun jumlah pemohonan mereka adalah jauh lebih kecil dari pelajar Bumiputera.

"Jadi, mengapakah sekarang pihak-pihak yang dahulunya menyokong penuh sistem berasaskan merit ini kini menimbulkan rasa tidak puas hati mereka?" soal beliau.

Sementara itu, Lim memberitahu sidang akhbar hari ini bahawa beliau tidak sama sekali bertujuan untuk membangkitkan soal perkauman dalam soal meritokrasi ini.

Katanya, beliau sering disalahertikan (dengan membangkitkan isu perkauman) kerana mereka yang melemparkan tohmahan tersebut sebenarnya berada dalam "kumpulan perkauman" serta tidak mempunyai "mentaliti ke Malaysiaan".

"DAP tetap menyokong sistem merit ini, tetapi biarlah pelaksanaannya dapat meyakinkan umum, dan bukannya untuk dijadikan bahan ketawa," kata Lim lagi.

Bekas Ketua Pembangkang itu turut menyelar Kementerian Pendirikan kerana gagal untuk memperincikan pelbagai lagi statistik, seperti jumlah sebenarnya pelajar yang masuk melalui kelayakan STPM dan Matrikulasi.

Tambah tempat

Selain itu, beliau turut meminta kerajaan agar menambah lagi 12,000 tempat di IPTA tahun ini kerana tidak wajar kerajaan mengurangkan pengambilan sebanyak 16.4 peratus, berbanding 39,197 tempat tahun lepas.

"Ini adalah tidak sejajar dengan dasar kerajaan untuk meningkat pelaburan di dalam sumber tenaga pekerja selaras dengan dasar ekonomi berasaskan pengetahuan (K-ekonomi)," tambah Lim.

Sementara itu, Setiausaha Agung (Pro-tem) Parti Reformasi Insan Malaysia (Prim), P Uthayakumar, kesal terhadap peminggiran pelajar kaum India berikutan pelaksanaan sistem baru ini.

"Bagaimanapun, Prim menghargai pendirian (Presiden MIC) Datuk Seri S Samy Vellu yang tidak takut untuk mempertahankan nasib pelajar keturunan India yang kurang berkemampuan setelah sistem ini dilaksanakan," katanya.

Dalam pengumuman minggu lepas, 22,557 (68.9 peratus) calon Bumiputera, 8,664 (26.4 peratus) calon kaum Cina dan 1,530 (4.7 peratus) kaum India berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti awam tempatan berdasarkan keputusan STPM dan Matrikulasi.