Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) hari ini melahirkan rasa keprihatinannya terhadap masalah lepasan diploma yang tidak mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada sessi kemasukan yang akan datang.

Presidennya Abdullah Abdul Karim, berkata masalah lepasan diploma tidak mendapat tempat di IPTA, bukan saja berlaku kepada lepasan diploma Universiti Putra Malaysia (UPM), tetapi juga lepasan diploma dari kolej-kolej yang selama ini diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan.

"Jumlah pelajar yang terlibat juga adalah besar," kata Abdullah dalam kenyataannya.

Abdullah berkata, kajian yang dibuat oleh PMUKM mendapati masalah ini begitu ketara bagi lepasan Kolej Islam Melaka, Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Maahad Tahfiz al-Quran JAKIM Kuala Kubu Baru, dan beberapa lagi, walaupun lepasan diploma ini turut mengambil jurusan lain seperti Pengurusan Perniagaan dan Undang-Undang.

"Apa yang berlaku ini seolah-olah menunjukkan adanya usaha meminggirkan pelajar yang mempunyai asas pendidikan agama.

"Berdasarkan aduan yang diterima oleh Badan Kebajikan PMUKM setakat pagi ini, sebenarnya begitu ramai pelajar lulusan diploma yang cemerlang yang tidak diterima masuk ke IPTA," katanya.

Lebih telus

Abdullah menambah perkara ini bukanlah kebetulan, tetapi menggambarkan dasar Kementerian Pendidikan yang tidak menerima pelajar lulusan diploma, yang tidak pernah didedahkan kepada umum.

"Kenapakah pihak kementerian di dalam buku panduan kelayakan masuk ke IPTA bagi sessi 2002/2003 yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, secara jelas menyatakan lepasan diploma layak untuk memohon masuk?" soal Abdullah.

Beliau berkata, PMUKM bersependapat dengan Pergerakan Pemuda Umno yang menuntut pihak kementerian memberi penjelasan yang lebih telus.

Semalam, Ketua Unit Pengaduan Awam Pergerakan Pemuda Umno, Subahan Kamal, mendedahkan masalah pelajar diploma yang tidak diterima masuk walaupun mendapat keputusan cemerlang.

Beliau mendakwa bahawa ia berlaku kerana Kementerian Pendidikan dipercayai memberikan keutamaan kepada lepasan Matrikulasi dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) selaras dengan pelaksanaan sistem meritokrasi.