'Pasukan ketiga' MCA tidak kuat
Anggota Majlis Tertinggi MCA Datuk Chor Chee Heung percaya pengaruh kumpulan yang mendakwa sebagai "kuasa ketiga" MCA, "tidak cukup kuat" untuk mengganggu gugat proses pemilihan dalam mesyuarat agung luar biasa parti itu esok.
Beliau berkata gesaan kumpulan itu supaya para perwakilan tidak menyokong sama ada Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat atau bekas timbalannya Datuk Dr Chua Soi Lek, yang kini digantung keahlian selama empat tahun, tidak akan menjadi kenyataan.
"Sebab yang pertama pengaruhnya adalah terlalu terhad.
"Yang kedua, pemimpin kuasa ketiga ini, orang tidak kenali, saya hanya kenal seorang, dia nampaknya yang menjadi jurucakap mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfiti Kastam Diraja Malaysia di Putrajaya hari ini.
Esok, parti berasaskan kaum Cina yang kini mencecah usia 60 tahun itu akan mengadakan EGM dengan membentangkan lima resolusi, termasuk usul tidak percaya terhadap Ong, dan untuk mengembalikan semula jawatan timbalan presiden kepada Dr Chua.
Sehubungan itu Chor yang juga timbalan menteri kewangan meminta para perwakilan membuat keputusan yang rasional esok dan, menurutnya, jika perwakilan memilih kedua-dua pemimpin itu, krisis kepimpinan MCA akan berlanjutan seperti sedia kala.
"Seperti peribahasa dalam bahasa Mandarin, kami (MCA) dah sampai ke tahap sebuah bukit yang tidak boleh mempunyai dua ekor harimau.
"Anda tidak boleh menyokong kedua-duanya sekali," kata Chor. BERNAMA

