Umumkan laporan tepat pengambilan pelajar ke IPTA: Wan Azizah
Parti Keadilan hari ini menggesa Kementerian Pendidikan supaya bersikap lebih telus dengan mengumumkan segera angka dan laporan yang tepat mengenai jumlah kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk di peringkat matrikulasi dan diploma.
Presiden Keadilan, Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pihaknya juga sangsi dengan kenyataan bahawa pelaksanaan dasar meritokrasi sekaligus dalam tempoh satu tahun, telah menukar corak dan prestasi pelajar bumiputra, terutama dalam bidang sains dan matematik.
"Justeru itu, kita perlu berwaspada melakukan perubahan secara terburu-buru agar memelihara kepentingan sebenar masyarakat bumiputra dan menjamin penyertaan yang adil bagi pelajar Cina dan India, yang turut mencatatkan kejayaan akademik yang cemerlang," katanya dalam satu kenyataan.
Dr Wan Azizah juga turut mengingatkan Kementerian Pendidikan supaya jangan lupa kepada isu pelajar India yang berkurangan diambil dalam sesi kali ini.
Sementara itu,Pemuda DAP hari ini mempertahan kenyataan pengerusi DAP Lim Kit Siang mengenai kelemahan dalam sistem meritokrasi berhubung pengambilan pelajar ke institut pengajian tinggi awam (IPTA).
"Apa yang dilakukan oleh Lim adalah untuk kepentingan awam, dengan memberitahu kelemahan dalam sistem meritokrasi, di samping memberi saranan bagaimana hendak memperbaikinya," kata Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda DAP, Loke Siew Fook.
Katanya , sebagai seorang pemimpin, Kit Siang mempunyai tanggungjawab moral untuk membela nasib ramai pelajar dan ibu bapa yang terbabit dalam pelaksanaan sistem itu dalam pengambilan pelajar universiti tahun ini.
Bukan isu perkauman
"Memang jelas keseluruhan sistem ini tidak adil kerana terdapat perbezaan dalam kaedah pemilihan ke universiti di antara mereka yang dipilih mengikuti kursus pra-universiti dan pelajar yang terpaksa menduduk Sijil Tinggi Persekolahan (STPM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di samping itu, kata Loke, perkara yang diketengahkan oleh Lim itu juga adalah untuk faeadah pelajar bumiputra yang menduduki peperiksanaan STPM.
Oleh itu, beliau menempelak Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda Umno, Dr Adham Baba yang mendakwa bahawa kenyataan Lim itu sebagai satu usaha untuk menjejaskan peluang pelajar bumiputra memasuki IPTA.
Semalam, Adham mengingatkan pengerusi DAP agar tidak terus mempertikaikan pelaksanaan sistem kemasukan ke IPTA.
Beliau berkata reaksi pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan sistem yang baru dilaksanakan itu, bolehlah dianggap sebagai usaha untuk menggagalkan peluang pelajar bumiputra memasuki IPTA.
Mengulas kenyataan itu, Loke menyifatkannya sebagai berbau perkauman dan tidak progresif, yang tidak sepatutnya dibuat oleh seorang pemimpin Pemuda Umno yang dianggap tunggak kepada kekuatan parti memerintah.
Loke berkata, rakyat Malaysia yang berfikiran waras akan bersetuju bahawa pelaksanaan sistem merit untuk memasuki universiti yang dilaksanakan tahun ini banyak kelemahannya.
Katanya, ini kerana pemilihan ini tidak berdasarkan peluang yang samarata akibat perbezaan piawaian akademik di antara pelajar Matrikulasi dan pelajar yang menduduki STPM.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.