Barisan Alternatif (BA) akan mencadangkan semula Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri BA untuk pilihanraya umum akan datang.

Berita Keadilan , akhbar rasmi parti Keadilan, dalam terbitan terbarunya, berkata ia adalah salah satu resolusi yang dicadangkan dalam Bengkel BA yang dihadiri pemimpin tertinggi BA pada 10 dan 11 Mei lalu di Kuala Terengganu.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Haji Awang, sewaktu berucap di majlis perasmiannya, mengulangi penghargaan beliau terhadap peranan besar yang dimainkan oleh isu Anwar yang membawa kemenangan BA di Terengganu dalam pilihanraya umum 1999.

Dalam pilihanraya tersebut, PAS berjaya menawan Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) apabila parti itu memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri. Empat kerusi lagi dimenangi oleh BN.

Katanya, isu Anwar masih hidup di kalangan rakyat Malaysia, khasnya masyarakat Melayu, dan ia akan terus memainkan peranan penting dalam perjuangan BA di Terengganu.

Bengkel tersebut yang dihadiri kira-kira 50 pemimpin PAS, Keadilan dan PRM menilai secara terbuka dan kritis sokongan rakyat dalam BA, isu yang dimainkan Barisan Nasional (BN) untuk menimbulkan kekeliruan rakyat terhadap BA.

Ia turut membincangkan apakah strategi yang akan digunakan oleh BA untuk mengatasi isu tersebut.

Hak asasi manusia

Sementara itu, Presiden Keadilan, Datin Seri Wan Azizah, dalam ucapannya menegaskan matlamat Keadilan adalah untuk membangunkan sebuah negara yang saksama yang melaksanakan prinsip keadilan, menjayakan demokrasi, mempertahankan hak asasi manusia dan menjana ekonomi yang dinamis dan mesra alam.

Katanya, jika matlamat itu berjaya dilaksanakan, ia akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang baik, dan memberi kebaikan bukan sahaja kepada umat Islam, malah menjamin kebaikan kepada masyarakat bukan Islam.

Beliau juga menggesa supaya persoalan Islam ditangani mengikut keutamaan, kerana adalah mustahil semua masalah masyarakat dan kenegaraan dapat diselesaikan dengan sekaligus.

Dalam bengkel tersebut, tiga pemimpin utama parti dalam BA telah membentangkan pandangan masing-masing terhadap cabaran yang akan dihadapi BA dalam pilihanraya akan datang menurut perspektiv masing-masing.

Pandangan PAS dibentangkan oleh Dr Hatta Ramli sementara pandangan daripada Keadilan dibentangkan oleh Azmin Ali dan PRM oleh Faisal Sanusi.

Semua keputusan bengkel tersebut akan dibawa ke Majlis Presiden untuk pertimbangan dan tindakan selanjut.