Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sokongan rakyat terhadap pembangkang kini semakin berkurangan dan Barisan Nasional (BN) sebaliknya berada di tahap selesa berikutan ekonomi negara yang semakin pulih.

Bernama memetik beliau sebagai berkata, kekurangan sokongan itu dapat diukur daripada kekalahan pakatan pembangkang, Barisan Alternatif (BA) dalam lima pilihan raya kecil yang lepas.

"Kekalahan dalam pilihanraya kecil di Sanggang dan Ketari (Pahang), Teluk Kemang (Negeri Sembilan), Likas (Sabah) dan Indera Kayangan (Perlis) mungkin mengurangkan keyakinan rakyat kepada pembangkang untuk menubuhkan kerajaan BA pada pilihanraya akan datang," katanya semasa merasmikan konvensyen Parti Keadilan negeri Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, BN kini berada dalam keadaan selesa berikutan ekonomi negara yang semakin pulih.

Dr Wan Azizah menggesa parti pembangkang dalam pakatan itu supaya meningkatkan kerjasama dan mencari pendekatan terbaik untuk menarik semula sokongan rakyat terhadapnya menjelang pilihanraya akan datang.

Undi bukan Melayu

Beliau berkata walaupun pada pilihanraya umum lepas pakatan pembangkang mendapat 44 peratus undi popular, tetapi pada pilihanraya umum ke-11 nanti keadaan mungkin berubah.

"Walaupun parti kita berbilang kaum, masih belum terbukti yang kita berupaya menarik undi bukan Melayu kepada BA, walaupun ada tanda-tanda sokongan pengundi Cina kepada BA meningkat dalam pilihanraya kecil di Indera Kayangan, Teluk Kemang dan Lunas dahulu," katanya.

Beliau berkata penarikan diri DAP keluar daripada pakatan pembangkang itu juga mungkin memberi kesan kepada pengundi, terutama pengundi Cina.

Dr Wan Azizah turut mendakwa antara beberapa sebab merosotnya sokongan rakyat kepada mereka ialah larangan berceramah oleh kerajaan menyebabkan saluran baginya menyampaikan maklumat kepada rakyat semakin sempit, pelaksanaan ikrar Akujanji di kalangan kakitangan awam dan program wang ehsan yang berjaya menarik semula sokongan rakyat kepada BN.

Beliau berkata media juga semakin kurang memperkatakan mengenai isu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isu-isu besar lain yang didakwanya berlaku dalam BN seperti penyelewengan, usaha menyelamatkan syarikat dan isu kroni.

"Parti Keadilan, PRM (Parti Rakyat Malaysia) dan PAS mestilah mengambil tanggungjawab bersama untuk mengekalkan kerajaan BA di Terengganu sebagai kerajaan contoh supaya rakyat di negeri lain yakin akan bentuk kerajaan yang dibina jika BA menang di negeri lain," katanya.