Kerajaan sepatutnya turut mengambilkira latarbelakang pemohon dalam membuat pemilihan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) walaupun ianya bersandarkan kepada sistem meritokrasi.

"Ia bagi mengelak berlakunya diskriminasi terhadap golongan berpendapatan rendah," kata Penyelaras Kumpulan Rakyat Prihatin (CCG), Charles Santiago, yang mewakili 40 badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan nasib kaum India.

"Peluang hendaklah turut diberikan kepada golongan berpendapatan rendah untuk menyediakan persaingan seimbang (di kalangan kaum)," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Atas nama meritokrasi, kata Santiago, peluang untuk melanjutkan pelajaran tidak boleh dibataskan kepada pihak-pihak tertentu sahaja, kerana golongan berpendapatan rendah dari pelbagai kaum, juga wujud di negara ini.

"Apakah akan jadi kepada mereka (yang berpendapatan rendah) sekiranya persaingan melalui meritokrasi membuatkan mereka terus terpinggir," kata Santiago.

Oleh itu, katanya, kerajaan hendaklah membuka program Matrikulasi kepada semua kaum di negara ini, selain bumiputra.

Selain itu, katanya, CCG juga menyarankan supaya kerajaan memperkenalkan peperiksaan bersama untuk kemasukan ke IPTA bagi mengelakkan syak wasangka terhadap "penyamarataan" terhadap gred Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Matrikulasi.

Perlu data lengkap

"Semua universiti awam mestilah membuktikan ketelusan dengan mengemukakan data lengkap berkaitan jumlah kemasukan tahunan, nama pelajar dan markah yang diperolehi dan kursus yang ditawarkan setelah menduduki peperiksaan bersama tersebut," tambah Santiago.

Beliau menegaskan kumpulan itu tetap berpendirian bahawa sistem kemasukan ke IPTA melalui merit adalah yang terbaik, tetapi tidak bagi tahun ini, kerana ketiadaan tiga faktor, iaitu persaingan yang adil, peperiksaan bersama dan ketelusan.

Dalam isu yang berkaitan, Pemuda DAP mencabar Pergerakan Pemuda Umno mengenepikan perbezaan politik dan menyokong cadangan DAP supaya ditambah 12,000 lagi tempat di IPTA tahun ini.

Setiausahanya, Hew Kuan Yew mendakwa, Pemuda Umno telah membuat kenyataan yang berbau perkauman apabila menuduh pengerusi DAP, Lim Kit Siang cuba menggagalkan kemasukan pelajar bumiputra ke universiti.

"Apa yang kami lakukan adalah demi kebaikan pelajar di negara kita, termasuk juga pelajar bumiputra yang gagal mendapat tempat belajar," kata Hew.

Katanya, Pemuda DAP juga kesal dengan Pemuda MCA dan Pemuda Gerakan kerana langsung tidak menunjukkan keprihatinan dalam soal ini.

"Sekurang-kurangnya MIC berani bersuara di Kabinet, walaupun hujah mereka tidak boleh kami terima," tambah Hew.

Hew turut menyeru pergerakan pemuda dari Barisan Alternatif supaya menyokong usaha ini untuk memastikan lebih ramai rakyat negara ini mendapat pendidikan tinggi.