Wujudkan tabung perumahan pekerja ladang
Pekerja ladang mungkin berpeluang memiliki rumah sendiri setelah mereka bersara apabila Tabung Bantuan Perumahan Pekerja
Ladang yang dicadangkan kerajaan kepada Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Tanah Melayu (Mapa) diwujudkan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam berkata skim itu yang sama dengan skim untuk peneroka Felda, akan membolehkan majikan menyumbang untuk tabung itu dan pekerja mereka boleh mengeluarkan wang berkenaan apabila cukup syarat.
"Saya telah cadangkan ini kepada Mapa dan kini terpulang kepada mereka," katanya yang juga anggota parlimen Segamat kepada pemberita selepas menyampaikan hamper Deepavali kepada golongan miskin di Segamat malam tadi.
Subramaniam berkata beliau telah mencadangkan penubuhan tabung itu kepada Sime Darby ketika melawat beberapa ladang di Bagan Pinang, Negeri Sembilan beberapa hari lepas.
Beliau berkata pekerja boleh menggunakan tabung itu untuk membayar wang pendahuluan rumah mereka dengan syarat mereka memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan seperti berkhidmat selama 10 tahun atau lebih di estet atau syarikat perladangan.
Selain itu, Subramaniam juga meminta Mapa menangani masalah pengangkutan yang dihadapi pelajar sekolah menengah di kawasan ladang dengan membiayai dan menyelenggara bas di kawasan ladang mereka.
Beliau berkata ramai di kalangan ibu bapa di kawasan ladang tidak boleh menghantar anak merka ke sekolah di bandar berhampiran kerana kos pengangkutan yang tinggi.
"Kita tidak mahu pekerja tinggalkan ladang hanya kerana tidak ada pengangkutan untuk membawa anak mereka ke sekolah," katanya.
Sementara itu, Subramaniam berkata beberapa syarikat perladangan seperti Sime Darby telah bersetuju menyediakan tanah kepada pekerja mereka berkebun atau menternak di bawah program Buku Hijau.
"Melalui usaha ini, pekerja boleh memperoleh pendapatan sampingan atau bercucuk tanam untuk kegunaan sendiri," katanya. BERNAMA

