MCA mampu untuk menyelesaikan sendiri krisis kepimpinan dalam parti itu tanpa campur tangan mana-mana pihak luar, kata naib presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.

Katanya, permasalahan dalam parti itu akan diselesaikan oleh MCA secepat mungkin melalui perlembagaan parti.

"Apa yang saya lihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga mahu MCA kuat dan dapat mencari jalan penyelesaian dengan cepat.

"Oleh itu kita berjanji untuk menyelesaikan perkara ini dengan cepat untuk membantu BN.

"PM menaruh sepenuh keyakinan kepada kita untuk menyelesaikan masalah ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Teknologi Maklumat syarikat farmaseutikal dan penjagaan kesihatan utama dunia GlaxoSmithKline (GSK) di Petaling Jaya.

Semasa ditanya sama ada dengan merujuk segala permasalahan parti melalui perlembagaan seolah-olah meremehkan apa yang pewakilan parti mahu pada mesyuarat agung luar biasa parti itu Sabtu lepas, Liow berkata:

"Yang penting sekarang adalah mesyuarat jawatankuasa pusat akan bersidang pada Khamis ini dan apa saja kemusykilan serta permasalahan boleh diselesaikan melalui mesyuarat itu."

Pada mesyuarat agung luar biasa itu, perwakilan telah meluluskan usul undi tidak percaya terhadap presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat serta meluluskan resolusi tidak mengembalikan jawatan timbalan presiden kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. BERNAMA