versi terkini Polis menahan sembilan penyokong pembangkang di balai-balai Travers dan Campbell, Kuala Lumpur tengah malam tadi selepas perhimpunan bagi menyokong Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional Mohamad Ezam Mohd Nor yang ditangkap semalam.
Mereka ditahan antara jam 9.15 hingga setengah jam kemudian selepas memulakan acara menyalakan lilin dan menyanyikan lagu berdekatan Stadium Merdeka, di depan balai polis tempat Ezam ditahan.
Ezam kini ditahan di balai Jalan Stadium.
Lebih 70 orang anggota polis pelbagai unit dikerahkan untuk menyuraikan 50 penyokong parti itu.
Sebelum itu, seorang aktivis reformasi dan penulis tamu malaysiakini Hishamuddin Rais menyampaikan ucapan ringkas. Polis bertindak sebaik sahaja beliau menamatkan ucapannya.
Ezam sedang disiasat di bawah tiga undang-undang, Akta Polis, Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan. Beliau dipercayai dibawa ke mahkamah esok untuk tahanan reman selanjutnya atau dituduh.
Antara yang ditahan malam ini termasuklah pengarah kempen 'Bebaskan Anwar' (FreeAnwar Campaign) Raja Petra Kamaruddin, isterinya dan dua wanita.
Mereka sebelum ini ditahan di balai polis Jalan Stadium.
Selepas disuraikan dan suasana sedikit kelam-kabut, para penyokong pembangkang berkumpul semula di sekitar balai berkenaan.
Mereka bergerak pulang selepas melihat sembilan tahanan itu dibawa ke balai-balai polis Travers (untuk wanita) dan Jalan Dang Wangi, bersebelahan kompleks beli-belah Campbell.
Turut hadir dalam perhimpunan malam tadi termasuklah Naib Presiden Keadilan Tian Chua dan aktivis reformasi Abd Malek Hussin.
Nama-nama lain yang ditahan:
1. Marina Abdullah (isteri Raja Petra)
2. Diong Chi Tzuoh
3. Tan Seow Kow
4. Fatimah Harun (ibu Zaridin dan Zarifah)
5. Zaridin Adlin
6. Zarifah Adlin
7. Badrul Izam (Pemuda Keadilan, Negeri Sembilan)
8. Azarizam Mohd Shahli
