Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pindaan 146,000 perwakilan pilih pemimpin Umno
Diterbitkan:  Oct 14, 2009 2:57 PM
Dikemaskini: 6:59 AM

Penambahan jumlah perwakilan kepada 146,500 anggota bagi pemilihan pimpinan tertinggi Umno dan barisan pemimpin peringkat bahagian merupakan satu daripada tujuh usul pindaan Perlembagaan Umno yang akan dibentangkan dalam perhimpunan agung khas Umno esok.

Angka itu merupakan penambahan lebih 5,000 peratus daripada sejumlah 2,510 anggota perwakilan yang terbabit dalam pemilihan pucuk pimpinan tertinggi sekarang.

Melalui usul pindaan ini juga, semua ketua sayap parti peringkat cawangan dicadangkan menjadi perwakilan secara automatik.

Enam lagi usul pindaan yang dicadangkan ialah:

* Memperkenalkan sistem pendaftaran menggantikan sistem kuota pencalonan. (Syarat minimum untuk menjadi calon akan ditetapkan oleh Majlis Tertinggi Umno);

* Pelantikan wakil Pergerakan Wanita untuk mengisi kerusi jawatankuasa peringkat cawangan, bahagian dan MT;

(Pindaan ini menjadikan jumlah anggota yang dilantik bertambah, iaitu bagi MT daripada 12 kepada 13 orang, anggota jawatankuasa peringkat bahagian daripada tujuh kepada lapan orang, dan jawatankuasa cawangan daripada lima kepada enam orang);

* Pemilihan bagi peringkat bahagian dan pucuk pimpinan tertinggi akan diadakan secara serentak, dan dengan itu sebuah Jawatankuasa Pemilihan Umno akan ditubuhkan untuk menyelia dari segi logistik dan kos. (Anggota jawatankuasa akan dilantik Presiden parti);

* Penghapusan yuran tahunan keahlian dan digantikan dengan yuran seumur hidup;

* Memberi mandat kepada ketua-ketua Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat cawangan untuk mengesahkan keahlian baru; dan

* Mengiktiraf setiausaha bahagian sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno secara automatik.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu pemberita hari ini bahawa kesemua cadangan usul pindaan itu akan dimuktamadkan oleh MT dalam mesyuaratnya malam ini.

Ini kerana satu daripada usul itu memerlukan keputusan MT bagi menetapkan syarat minimum pencalonan untuk pemilihan pemimpin peringkat bahagian dan pucuk pimpinan tertinggi.

"Kemungkinan MT malam ini akan memutuskan satu kelayakan minimum agar tidak membenarkan sesiapa sahaja menjadi calon, khususnya untuk pucuk pimpinan tertinggi. Tapi percayalah ia syarat minimum," katanya selepas memberi taklimat kepada wakil-wakil Badan Perhubungan Umno negeri mengenai cadangan pindaan itu.

"Pada hemat saya, mungkin kelayakan minimum pucuk pimpinan itu ialah berpengalaman memimpin di peringkat bahagian," katanya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata kesemua pindaan itu tidak mungkin dapat menyelesaikan kesemua masalah dalaman parti, namun ia penting bagi menangani isu tertentu.

"Pindaan ini adalah sebahagian daripada proses transformasi parti, bagi membolehkan Umno lebih demokratik, telus dan inklusif."

"Walaupun hanya tujuh perkara yang memerlukan pindaan, namun kesannya begitu bersejarah dan bermakna kepada parti. Dan ini memerlukan suara bulat daripada perwakilan ke Perhimpunan Agung Khas esok," katanya.

- Bernama

ADS