Most Read
Most Commented
Read more like this

Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Baling, Haji Taib Azamudden hairan mengapa Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin (Zam) tidak menghubunginya sendiri jika beliau ingin berbincang mengenai "rahsia besar" yang dikatakan diketahuinya sewaktu menjadi imam Masjid Negara.

"Saya tidak faham mengapa Zam tidak menghubungi saya sepertimana anda (wartawan) selalu menelefon saya untuk bertanyakan sesuatu. Jika dia mahu, Zam juga boleh berbuat demikian," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, Zam sebaliknya gemar menggunakan media untuk menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan Taib mengenai "rahsia besar" itu, tetapi tidak pernah menghubunginya sendiri.

"Bagi saya, perkara sudah tutup. Kalau Zam berminat bercakap dengan saya, dia boleh hubungi terus saya, dan tidak lagi menggunakan media untuk tujuan itu," katanya.

Taib menegaskan demikian ketika diminta mengulas nasihat Naib Presiden Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib supaya beliau (Taib Azamudden) dan Zainudin mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan perkara itu.

Nasihat

Mengulas lanjut mengenainya, Taib Azamudden berkata beliau tidak perlu nasihat daripada Muhd Taib tentang perkara itu.

Zainuddin sebelum ini telah mencabar Taib Azamudden supaya mendedahkan "rahsia besar" sewaktu beliau menjadi imam Masjid Negara.

Selepas berulangkali didesak oleh Zainudin dan beberapa orang menteri besar, supaya beliau mendedahkan "rahsia besar" itu, Taib Azamudden mengadakan sidang akhbar pada 7 Mei lalu mengenai dakwaan salahlaku seks yang didakwa membabitkan beberapa pemimpin tertinggi Umno.

Ini termasuk dakwaan mengenai seorang ketua editor akhbar arus perdana yang mengadakan hubungan sulit dengan wanita lain sewaktu isterinya dalam keadaan hampir lumpuh dan kesahihan perkahwinan seorang bekas menteri besar dan perceraiannya di Thailand.

Azamudden juga mendakwa seorang pemimpin Umno ditangkap berkhalwat dengan seorang artis di Port Dickton, Negeri Sembilan serta dan hubungan sulit seorang pemimpin Umno dengan gadis bawah umur.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS