Sultan Pahang miliki anak luar nikah, tuduh bekas jururawat Filipina
terjemahan [Bahagian 1 di bawah] Sumber istana juga berkata Dina mahu semuanya disebut dalam perjanjian, bermula hak melawat hingga penerimaan Carla dalam keluarga diraja.
"Cadangan ini mustahil ditunaikan. Hubungan kekeluargaan harus diasuh dengan kasih sayang. Ia tidak boleh dipaksa ke atas seseorang. Masa diperlukan agar hubungan keluarga itu boleh mesra dan seseorang tidak sewenang-wenangnya memaksa orang lain menjalinkan hubungan itu melalui kontrak," kata sumber.
Sumber itu berkata lagi laman web (Dina) menerbitkan gambar baginda dengan Carla, menunjukkan hubungan baginda dengan anak gadis itu "boleh tahan."
"Mungkin Dina patut memberikan peluang kepada baginda untuk menerima Carla."
Sumber istana itu mempertikaikan niat Dina membangunkan laman web itu sedangkan beliau masih boleh meneruskan rundingan dengan baginda atau peguam-peguam Sultan bagi menjamin masa depannya dan Carla.
Dina pula berkata Carla mahu baginda menerima tanggungjawab sebagai seorang bapa, khususnya selepas beliau sedar kelahirannya dan tempat tinggalnya. Tetapi, katanya, baginda memutuskan untuk meninggalkan Carla dan tidak menolong membesarkannya sejak lebih 15 tahun usia gadis itu.
Bayaran untuk tutup rahsia
Dina berkata sebaik sahaja rundingan itu gagal, baginda menghentikan semua bayaran untuk persekolahan dan makan minum anak itu.
"Kini jelas bahawa apa yang baginda mahu hanyalah untuk menutup mulut kami (daripada mendedahkannya) dengan menawar sejumlah wang, tetapi apabila baginda gagal, baginda pun menunjukkan niatnya yang sebenar terhadap anak gadisnya," kata Dina.
Satu sumber lagi yang mengetahui perkara ini memberitahu, baginda bukanlah punca rundingan ini tertangguh. Beliau berkata tawaran baginda terbuka untuk diterima kepada Carla dan Dina.
"Tidak ada salahnya baginda meminta perkara ini dirahsiakan melalui perjanjian. Baginda sudah bersetuju memberikan sejumlah wang, memberikan hak kepada anak itu melawatnya, dan mungkin cuba mendekatkan Carla kepada keluarga diraja. Malah hartanah di Los Angeles itu diberikan sebagai pampasan kerana tidak mampu memberikan kasih sayang sebagai bapa," kata sumber itu.
Sumber menambah, baginda juga bersetuju membayar denda sebanyak AS$25,000 (RM95,000) jika baginda gagal melawat Carla dalam tempoh yang dijanjikan.
Bagaimanapun, Dina berkata denda itu dikenakan selepas baginda kelihatan semakin jelas tidak bersedia bertemu Carla. "Jumlah itu dipilih dengan andaian wang sebanyak itu diperlukan baginda setiap kali melawat Carla."
Mahkamah khas diraja
Dakwaan Dina bahawa Malaysia tempat tidak selamat bagi Carla untuk melawat baginda ditolak oleh sumber itu.
Beliau berhujah, bagaimana Carla boleh diperkenalkan kepada keluarga diraja jika ibunya tidak bersedia membenarkan gadis itu melawat negara ini. Beliau juga menolak dakwaan Dina bahawa baginda enggan bertemu anak gadis itu.
"Baginda telah berjumpa Carla dua kali. Baginda telah membawanya menonton dan membeli-belah, dan baginda berbual panjang dengannya. Memang ada kemungkinan baginda meneruskan hubungan dengan Carla sehinggalah ibunya memutuskan rundingan," katanya.
Sumber itu lagi mempertikaikan cara Dina membangunkan laman web itu yang memasukkan beberapa tuduhan yang boleh mengaibkan baginda.
"Apa sebenarnya yang beliau (Dina) ingin capai dengan laman web itu? Beliau sepatutnya meneruskan rundingan itu. Mungkin kerana beliau ingin orang ramai bersimpati kepadanya," tambahnya.
Sumber itu turut berkata Dina boleh membawa perkara ini ke mahkamah.
"Beliau mestilah terlebih dahulu mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara untuk menfailkan tuntutan terhadap baginda di Mahkamah Khas (untuk Raja-raja Melayu). Sekalipun beliau berjaya mendapat persetujuan itu, beliau mesti ingat bahawa hanya perkara-perkara yang berbangkit terhadap baginda selepas 1993 boleh difailkan," tambahnya.
Mahkamah Khas dibentuk pada 1993 di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan bagi mendengar kes-kes salah laku peribadi terhadap Raja-raja Melayu.
Sumber itu berkata jika mahkamah itu menerima aduan Dina, ia hanya boleh memberikan apa-apa pampasan bagi kes-kes baginda bermula 1993 sahaja.
Dengan halangan ini, Carla dan ibunya tidak mendapat banyak faedah jika dibandingkan dengan tawaran awal baginda, kata sumber.
Dina pula berkata tujuannya bukan untuk mendapatkan wang, sambil menambah beliau sangat berhati-hati sejak kelahiran Carla.
"Saya mengirim surat, gambar, sijil kelahiran Carla dan meninggalkan pesan telefon di Istana untuk baginda. Apa yang saya buat selama ini adalah untuk menjaga imej, kedudukan, harga diri dan kehormatan baginda dengan cara tidak mendedahkan perkara yang memalukan ini kepada umum," katanya.
"Bagaimanapun, selepas saya sedar bagaimana cara baginda melayan anak kami, saya tidak lagi mampu berdiam diri... Saya tidak akan membiarkan baginda melepaskan diri dengan mengelak daripada menerima tanggungjawab dan tanggungan terhadap anaknya."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.