Kementerian Pendidikan hari ini disarankan supaya bersikap "mesra rakyat" dengan membuka kaunter khas di seluruh negara bagi memberi ruang kepada para pemohon yang masih belum mendapat tempat pengajian, untuk mengemukakan rayuan dan pandangan berhubung masalah yang mereka hadapi.

Menurut Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), mereka ini terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolah Malaysia (STPM), diploma, Pusat Asasi Sains dan matrikulasi

Presiden PKPIM, Mohd Zaidi Aziz, berkata kaunter khas itu boleh dibuka dengan kerjasama institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) bagi tempoh tertentu selepas tamatnya tempoh rayuan permohonan pelajar ke IPTA.

"Ini ekoran pelbagai aduan ibu bapa serta para pelajar, terutamanya pelajar cemerlang yang masih tidak menerima sebarang tawaran di sebarang institut pengajian tinggi (IPT) atau menerima tawaran kursus yang tidak bersesuaian," kata Presiden PKPIM, Mohd Zaidi Aziz.

Di samping itu, katanya, ia juga akan memberi gambaran tepat kepada para pelajar dan ibu bapa berhubung sistem kemasukan dan peluang pendidikan terbaik yang boleh dimanfaatkan.

"Tindakan proaktif ini akan dapat memberi ruang kepada Kementerian Pendidikan, IPTA dan IPTS, mengenal pasti statistik para pelajar yang mempunyai keputusan cemerlang atau sederhana tetapi masih tidak mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran," tambahnya.

Kaunter peluang pendidikan

Selain itu, PKPIM juga mencadangkan agar dibuka 'kaunter peluang pendidikan' di semua Jabatan Pendidikan atau tempat-tempat awam yang sesuai, dengan dikendalikan oleh pakar kaunseling dan kerjaya serta pegawai pendidikan yang berkelayakan.

"Ini akan memberi ruang kepada para pelajar yang tidak berjaya ke IPTA, mendapat khidmat nasihat bagi meneroka peluang belajar pilihan di peringkat sijil dan diploma yang ditawarkan oleh mana-mana agensi kerajaan, seperti Mara dan di IPTS," kata Mohd Zaidi.

Untuk tujuan itu, beliau juga mencadangkan agar Kementerian Pendidikan menerbitkan 'direktori khas' yang menyenaraikan progam-progam yang ditawarkan oleh IPTA, IPTS dan juga program latihan kemahiran di institut kemahiran yang dikendalikan oleh agensi kerajaan dan Mara.

"Secara tidak langsung, langkah ini membantu golongan yang tidak cemerlang dalam akademik tetapi mempunyai hasrat untuk meneruskan pengajian mereka," katanya.

Mohd Zaidi berkata, oleh kerana jumlah pelajar yang layak ke IPTA melebihi 86,000 tahun ini, dan tidak semua berpeluang mendapat tawaran, maka Kementerian Pendidikan juga perlu mengeluarkan senarai IPTS yang memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan dan Lembaga Akreditasi Negara.