MB: Isu arak antara punca tolak PAS

       

kemaskini 1.04pm Menteri Besar Selangor mengakui pergolakan dalaman di negeri itu – antaranya kontroversi penjualan minuman keras – turut menyumbang kepada kemerosotan undi PAS pada pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun berkata, isu tersebut hanya membawa sedikit kesan negatif kepada Pakatan Rakyat, jika dibandingkan janji-janji imbuhan kerajaan persekutuan kepada DUN tersebut menjelang hari mengundi, Ahad lalu.

“Walaupun ada, tetapi kesannya jauh. Maknanya, ada kesan. Tetapi bukan (disebabkan perkara) itu sahaja. Jika itu berlaku, sudah tentulah kesannya ada juga di Bukit Selambau dan tempat lain (pilihan raya kecil sebelum ini),” katanya.

“Jadi, tidak terlalu tepat mengatakan ia disebabkan perkara yang berlaku (di Selangor) itulah (sahaja puncanya). Boleh jadi ada, tetapi tidak 100 peratus (mempengaruhi undi).

“Faktor yang menyumbang ke arah itu kecil, bukan besar jika dibandingkan dengan (kesan akibat) pemberian imbuhan kerajaan persekutuan kepada pengundi Bagan Pinang.”

Khalid diminta mengulas analisis beberapa pihak – antaranya oleh Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan akhbar web PAS Harakahdaily – yang mengaitkan kemerosotan undi PAS dengan pergolakan politik di negeri Pakatan itu.

Wan Azizah kelmarin berkata, imej negatif yang digambarkan media berhubung isu penjualan arak memberikan tanggapan tidak baik kepada calon Pakatan menjelang pilihan raya kerusi DUN itu.

Sementara analisis Harakahdaily sejurus selepas keputusan pilihan raya itu menyebut, pengundi Cina menolak parti Islam kerana tidak berpuas hati dengan beberapa kenyataan pemimpin PAS di Selangor.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut, kesahihan maklumat itu hanya dapat dipastikan apabila analisis lengkap keputusan penuh pilihan raya itu dibuat.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan seminar tenaga nuklear di Subang Jaya pagi ini, Khalid berkata, sepanjang kempen pilihan raya Bagan Pinang, pelbagai perkhidmatan percuma dan sedekah ditawarkan kerajaan persekutuan kepada pengundi melalui jabatan-jabatan kerajaan.

“Semua orang kampung di Bagan Pinang mendapat perkhidmatan kesihatan. Doktor lebih ramai daripada penerima perkhidmatan, lebih banyak wakil Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ke rumah mereka.

“Lebih banyak pula 'sedekah' diberikan dalam bentuk beras dan sebagainya. Ini bukan sedikit, ini banyak memberi kesan kepada penilaian pengundi,” katanya.

Khalid juga berkata, isu tempatan seperti pemilihan calon popular Tan Sri Isa Samad, bekas menteri besar Negeri Sembilan selama dua dekad, dan isu-isu tempatan turut mempengaruhi kepada kemerosotan undi pembangkang.

Walaupun menerima hakikat kekalahan itu, tambahnya, Pakatan Rakyat akan cuba menganalisis punca kekalahan mereka setelah tujuh kali berjaya menumbangkan BN dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

“Sekarang kita cuba menganalisis mengapa keadaan pengundi ini mula berubah. Atau apa yang menyebabkan pengundi ini beralih pandangan?” katanya.

Sejak penghujung tahun lalu, kerajaan Pakatan Selangor bergolak teruk akibat perselisihan faham pemimpin PAS dan DAP di negeri itu, bermula dengan kawalan penjualan arak di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Hasan Ali dilaporkan bergeser dengan exco kerajaan tempatan daripada DAP Ronnie Liu yang yang didakwa cuba campur tangan dalam penguatkuasaan jualan minuman itu.

Kontroversi itu muncul kembali Ogos lalu apabila Dr Hasan, sebagai exco agama negeri, dilaporkan menuduh Ronnie campur tangan dalam satu rampasan minuman beralkohol di Shah Alam.

Malaysiakini
terkini untuk anda