Sebuah syarikat pemaju perumahan telah mengemukan surat tuntutan kepada malaysiakini supaya memohon maaf tanpa syarat serta membayar gantirugi RM10 juta berhubung penyiaran sebuah berita mengenai projek kondominium tergendala di USJ 19.

Di dalam surat yang bertarikh 16 Mei lalu, yang diterima malaysiakini hari ini, syarikat pemaju berkenaan, Sanjung Utama, mahu pemohonan maaf itu disiarkan dalam akhbar The Star dan Sin Chew Jit Poh .

Syarikat itu juga mahu malaysiakini memberi jaminan tidak akan menyiarkan lagi berita-berita berkaitan perkara tersebut.

Surat itu, yang dihantar oleh firma guaman CL Chin and Associate, yang beribupejabat di Klang, mendakwa beberapa bahagian berita berkenaan, "mempunyai niat buruk" dan "serangan yang tak munasabah" terhadap integriti dan reputasi Sanjung Utama.

Malaysiakini diberi tempoh sehingga Jumaat ini untuk menjawab terhadap surat tuntutan itu, dan syarikat berkenaan akan mengambil tindakan mahkamah jika ia gagal berbuat demikian.

Laporan malaysiakini bertarikh 23 April, dibuat berdasarkan kepada sidang akhbar oleh aktivis pengguna, Dr Jacob George.

Dr George telah menuntut pemaju berkenaan menyediakan skim pembayaran balik wang kepada pembeli terbabit dengan projek syarikat Rhythm Avenue - pembinaan kondominium 33 tingkat - yang kini tergendala pembinaannya.

Dr George, yang juga presiden dan penasihat undang-undang Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, memberitahu sidang akhbar itu bahawa pemaju terbabit gagal menyiap pembinaan kondominium itu untuk diserahkan kepada pembeli, mengikut jadualnya Disember lalu.

Kemungkinan salahlaku

Beliau mendakwa punca utama timbulnya masalah itu mungkin disebabkan salahlaku yang membabitkan badan-badan profesional yang terbabit dengan pelaksanaan projek berkenaan.

Sidang akhbar Dr George turut dilaporkan oleh akhbar-akhbar harian yang lain.

Dr George, yang turut dinamakan dalam surat tuntutan itu, juga didakwa mempunyai niat buruk dan membuat tuduhan palsu terhadap Sanjung Utama.

Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) telah mengarahkan arkitek yang terbabit dalam projek Rhythm Avenue itu supaya memberi penjelasan terhadap dakwaan Dr George itu.

Dr George, yang bertindak bagi pihak beberapa pembeli terbabit, telah menulis surat aduan kepada LAM pada 14 Mei lalu, meminta lembaga itu menyiasat dakwaan bahawa arkitek projek berkenaan telah mengeluar sijil, bagi membolehkan pihak bank membuat bayaran sehingga 95 peratus pinjaman perumahan, sedangkan projek itu tergendala.

Pada 17 Mei, lembaga itu telah menghantar surat kepada arkitek pemaju berkenaan, memintanya memberi penjelasan terhadap dakwaan itu.

Surat itu yang ditandatangani oleh Setiausaha Eksekutifnya, Esah Abdullah, berbunyi: "Sebelum Lembaga mengambil tindakan selanjutnya, Lembaga ingin mendapatkan penjelasan tuan mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan itu. Tuan juga dikehendaki mengemukakan salinan surat perlantikan tuan sebagai arkitek dalam projeck tersebut".

LAM adalah badan pengelola bagi semua arkitek berdaftar dan mempunyai kuasa penguatkuasaan.

Dr George juga memberitahu malaysiakini hari ini bahawa beliau akan mengemukakan surat kepada Bank Negara untuk meminta menyiasat mengapa bank-bank yang menyediakan pinjaman bagi projek berkenaan, gagal memaklumkan kepada pembeli mengenai jadual pembayaran yang dibuat kepada pemaju berkenaan.