Isu meritokrasi mungkin dibawa ke mahkamah: Prim
Pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan sistem kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berdasarkan sistem merit mungkin mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan kerana mendakwa berlaku ketidakadilan.
Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Parti Reformasi Insan Malaysia, P Uthayakumar, berkata tindakan tersebut mungkin diambil berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak-hak semua kaum di negara.
"Kami melihat ada kemungkinan untuk itu kerana pelaksanaan sistem meritokrasi ini telah tidak dijalankan dengan telus dengan banyak perkara yang terselindung," kata Uthayakumar dalam sidang akhbar bersama parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibupejabat DAP hari ini.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan agar dapat mengemukakan statistik yang tepat mengenai kemasukan pelajar ke IPTA bagi sepuluh tahun terakhir, dalam tempoh satu minggu dari sekarang.
Pengerusi DAP Lim Kit Siang pula mendakwa bahawa sebelum pelaksanaan sistem meritokrasi tahun ini, kerajaan sebenarnya tidak pernah menepati kuota 55 peratus kepada bumiputra dan 45 peratus kepada bukan bumiputra seperti yang digembar-gemburkan.
Sambil menunjukkan statistik yang didakwa diperolehi dari laporan Majlis Perundingan Ekonomi Kebangsaan (NECC) 1 dan NECC 2, dari tahun 1980 hingga 1999, Lim berkata kerajaan sebenarnya tidak pernah memberikan kuota yang cukup kepada bukan bumiputra.
"Sebagai contoh, pengambilan pelajar bumiputra ke IPTA bagi tahun 1980 adalah 62 peratus, 1985 (63 peratus), 1988 (60.4 peratus), 1990 (65.9 peratus) dan 1999 (69.9 peratus)," kata Lim.
Perangkap politik
"Tidak ada gunanya lagi rakyat negara ini bersaing sesama sendiri di dalam era globalisasi ini," kata Lim, yang mahukan kerajaan mencari jalan terbaik di dalam mesyuarat Kabinet esok.
Selain itu, Lim mendakwa bahawa kekurangan pengambilan kaum India ke IPTA pada tahun ini sebenarnya merupakan satu "perangkap politik", dan bukannya 'perangkap meritokrasi' sepertimana yang didakwa oleh presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu, sebelum ini.
Sementara itu, Prof P Ramasamy, pensyarah di Jabatan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), turut mendakwa bahawa kejatuhan mendadak peratusan pelajar kaum India tahun ini adalah disebabkan kecacatan dalam pelaksanaan sistem tersebut.
"Nampaknya, sistem merit ini hanya ada pada nama, tetapi hakikatnya ia lebih buruk dari sistem kuota yang dilaksanakan dulu," kata Prof Ramasamy, yang mahukan keadilan bagi setiap rakyat negara ini.
Katanya, pelaksanaan yang tidak betul terhadap sistem ini boleh membawa kepada kesan sosial yang tidak diingini pada masa depan.
Oleh itu, beliau menyarakan agar kerajaan dapat menambahkan lagi tempat ke universiti untuk tahun ini bagi mengelakkan keciciran pelajar.
Beliau tidak bersetuju dengan gesaan Samy Vellu agar kerajaan berbalik kepada sistem kuota, kerana kaum India akan dapat mencapai sekurang-kurangnya 10 peratus kemasukan ke IPTA seperti yang ditetapkan.
Hak mendapat pendidikan
"Ini adalah kerana Kementerian Pendidikan sendiri tidak pernah mematuhi kuota (55:35:10) seperti yang telah ditetapkan," kata Prof Ramasamy.
Sementara itu, wakil Kumpulan Rakyat Prihatin (CCG) yang mendakwa mewakili 40 pertubuhan NGO kaum India, M Manoharan berkata, sekumpulan pelajar turut mempertimbangkan untuk mengemukakan laporan mengenai perkara itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Beliau berkata tindakan tersebut mungkin diambil tidak lama lagi, kerana CGG tidak termasuk di dalam senarai 40 NGO yang memboikot Suhakam selama 100 hari.
Seramai 1,530 pelajar India (4.7 peratus) berjaya memasuki IPTA dari 32,752 tempat yang disediakan tahun ini, berdasarkan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau yang setarafnya.
Selebihnya pula diisi pelajar bumiputra, iaitu 22,557 (68.9 peratus) dan 8,665 pelajar kaum Cina (26.4 peratus).
Golongan bukan bumiputra turut mendakwa ketidakadilan berlaku kerana "penyamatarafan" antara gred STPM dan Matrikulasi, yang memberikan kelebihan kepada pelajar bumiputra yang mengikuti program Matrikulasi.

