terjemahan

Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, tetapi menegaskan bahawa beliau tidak akan berganjak daripada perjuangannya untuk menegak keadilan dan demokrasi.

"Masa itu pengubat, dan saya tidak pernah menyimpan dendam ... saya tidak akan mengorban perjuangan," katanya.

Beliau menegaskan demikian dalam jawapannya kepada soalan bertulis yang dikemukakan oleh wartawan asing, termasuk sama ada beliau akan bekerjasama dengan Dr Mahathir.

Soalan itu telah diserahkan kepada Anwar sewaktu beliau menghadiri pembicaraan kes rayuannya di Mahkamah Persekutuan Mac lalu, berhubung kes rasuah terhadapnya.

Soalan: Dalam perspektif anda, adakah mungkin anda (Anwar) dan Mahathir boleh mengetepikan jurang perbezaan politik dan peribadi yang besar, yang timbul daripada "kes Anwar"? Dalam lain perkataan, apakah ada ruang untuk berbaik semula? Adakah anda (Anwar) bersedia memberi kemaafan, untuk kembali semula di samping Mahathir?

Anwar : Sesungguhnya, masa itu pengubat dan saya tidak menyimpan dendam. Namun begitu, saya tidak pernah berganjak daripada memperjuangkan demokrasi, keadilan, membanteras rasuah dan kronisme. Saya tidak akan mengorban perjuangan itu.

Jawapan bertulis Anwar itu diedarkan oleh peguamnya, Sankara Nair dalam sidang akhbar di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.

Anwar yang sebelum ini merupakan bakal pengganti Dr Mahathir, telah disingkirkan daripada kerajaan dan Umno pada 1988 selepas didakwa terbabit dalam salahlaku seks and perbuatan rasuah.

Setahun selepas itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Anwar bersalah atas tuduhan liwat dan rasuah, sertai menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara ke atasnya.

Bagaimanapun, Anwar tetap mendakwa bahawa dia telah menjadi mangsa konspirasi politik untuk menjatuhkan. Bagaimanapun, kerajaan menafikan tuduhan itu.

Rayuannya terhadap hukuman rasuah masih belum diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, manakala tarikh belum ditetapkan untuk mendengar rayuannya terhadap kes liwat.

Merindui keluarga

Menjawab soalan lain, Anwar berkata beliau sentiasa merindui isterinya, yang juga Presiden Keadilan, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kelima-lima orang anaknya.

"Itulah harga yang perlu dibayar dalam perjuangan untuk menegakkan demokrasi, kebebasan dan keadilan," katanya.

Ditanya sama ada beliau menganggapkan dirinya sebagai tahanan politik, Anwar menegaskan bahawa jelas terdapat unsur-unsur politik dalam perbicaraan terhadapnya di mahkamah.

Katanya, beliau bangga disamatarafkan oleh wartawan tersebut dengan bekas Presiden Afrika Selatan dan tahanan politik Nelson Mandela berasaskan apa yang berlaku ke atas dirinya ada persamaan dengan apa terjadi kepada.Mandela.

"Tetapi saya begitu takut apabila membayangkan yang saya akan merengkok selama 15 tahun di penjara sepertimana yang dikehendaki Mahathir," katanya.

Beberapa soalan yang dikemukakan kepada Anwar itu juga menyentuh mengenai pengaruhnya dalam parti Umno yang telah melonjak karier politiknya sehingga menjawat jawatan timbalan presidennya selama beberapa tahun.

Tidak sabar menunggu dibebaskan

"Saya mempunyai kepercayaan dan keyakinan terhadap orang lain, begitu juga dengan ahli-ahli Umno," katanya.

Ditanya mengenai cita-cita politiknya, Anwar berkata, beliau berharap dapat bersama dengan rakan-rakan seperjuangannya dalam Keadilan tidak lama lagi.

"Saya tidak sabar menunggu pembebasan saya, untuk menyertai rakan-rakan dalam perjuangan menegakkan demokrasi dan keadilan," katanya.

Keadilan ditubuhkan pada 1999 dengan diketuai isteri Anwar, Dr Wan Azizah dan rakan-rakannya yang lain.

Sambil membidas media tempatan, Anwar berkata, walaupun pihak akhbar dikongkong oleh kerajaan "tetapi kita masih boleh menyebarkan maklumat menerusi saluran alternatif, tetapi terpaksa membayar harga yang tinggi".

Mengulas mengenai serangan 11 September ke atas Amerika Syarikat, Anwar melahir jijiknya terhadap kejadian itu.

"Tetapi saya ingin mengingatkan mengenai tindakan mengekploitasi peristiwa itu untuk memperkukuhkan lagi regim autokrasi bagi meneruskan tindakan menekan. Dan malangnya inilah yang terjadi," katanya.

Berikutan serangan 11 September itu, kerajaan Malaysia telah meningkatkan gerakan memberkas mereka yang dianggap terbabit dalam Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), dengan membuat 60 tangkapan, antaranya termasuk ahli-ahli parti pembangkang, PAS.