Umno sentiasa terbuka kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya beliau benar-benar ikhlas dengan kenyataannya mengenai kemungkinan berbaik semula dengan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, kata Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Aziz Sheikh Fadzir.

"Kita sentiasa terbuka demi penyatuan ummah. Kalau Anwar mahu berbaik semula dengan Dr Mahathir, kita serahkannya kepada pucuk pimpinan untuk memutuskannya," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kenyataan Anwar itu mesti disertai keikhlasannya untuk berbuat demikian supaya ianya tidak dianggap sebagai usaha untuk menghangatkan semula isu Anwar menjelang pilihanraya umum akan datang.

Aziz menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anwar dalam malaysiakini semalam bahawa beliau (Anwar) tidak menolak kemungkinan berbaik semula dengan Dr Mahathir.

Dalam laporan itu, Anwar berkata masa menjadi pengubat dan beliau tidak pernah menyimpan sebarang dendam.

Kenyataan Anwar itu terkandung dalam jawapannya kepada soalan bertulis yang diserahkan kepada Anwar oleh wartawan asing sewaktu beliau hadir di Mahkamah Rayuan Mac lalu untuk mendengar kes rayuannya berhubung tuduhan rasuah terhadapnya.

Ia diedarkan oleh peguam Anwar, Sankara Nair kepada wartawan asing dan malaysiakini dalam satu sidang akhbar di pejabatnya semalam.

Jangan dijadikan bahan politik

Mengulas lanjut perkara itu, Aziz berkata: "Secara peribadi saya menyokong, demi perpaduan ummah, bangsa kita dan bagi memperkuatkan negara, kerana ia bermakna satu masalah politik yang besar dapat kita kurangkan".

"Bagaimanapun, soal keikhlasan itu penting bagi memastikan ianya tidak bertujuan semata-mata untuk dijadikan bahan politik supaya orang bercakap semula mengenai Anwar," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Pasir Putih, Kamaruddin Mohd Nor, yang dianggap sebagai salah seorang yang rapat dengan Anwar, turut menyambut baik kenyataan bekas timbalan presiden Umno itu.

"Sekarangpun kami masih kawan, kerana secara peribadi kami tidak ada sebarang pertelingkahan ... cuma dalam politik, saya dalam Umno...," tambahnya.

Katanya, perkembangan terbaru itu akan memberi makna besar terhadap usaha ke arah memperkukuhkan lagi perpaduan Melayu.

"Inilah yang amat kita perlukan sekarang ... sudah cukuplah setakat ini kita berdepan dengan politik perpecahan sesama umat Islam di negara ini. Inilah merupakan masa yang terbaik untuk kita memikirkan bersama cara untuk menyatukan ummah di negara ini," katanya.