Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Malik Ahmad ialah calon terbaik untuk meneruskan usaha Ketua Hakim Tan Sri Dzaiddin Abdullah memulihkan imej sistem kehakiman negara, kata bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Shaik Daud Mohd Ismail.

Bagaimanapun, beliau berharap penggal perkhidmatan Dzaiddin yang akan berakhir September depan akan disambung.

Jika tidak, Malik ( kiri ) ialah pilihan terbaik untuk menjadi ketua hakim negara yang baru, Shaik Daud berpendapat.

"Saya berharap dan berdoa agar Malik dipilih demi kebaikan sistem kehakiman negara. Dia mempunyai perangai yang baik. Saya tidak pernah melihat beliau memarahi mana-mana peguam atau menjerit pada orang lain.

"Beliau sentiasa sopan. Sifat seperti itulah yang perlu pada seorang hakim, dan sebagai ketua hakim negara, anda perlu mempunyai kesabaran yang tinggi untuk melaksanakan tugas dengan baik," katanya.

Shaik Daud juga memuji usaha Dzaiddin untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara, dan berpendapat beliau (Dzaiddin) perlu diberi lebih masa untuk melaksanakan dasar-dasar dan arahan yang dibuatnya sejak dilantik tidak sampai dua tahun lalu.

"Ianya (imej kehakiman) tidak dapat dipulihkan dalam masa yang singkat kerana imej itu telah rosak teruk. Imej tinggi sistem kehakiman yang telah dibina selama 100 tahun cuma mengambil hanya beberapa tahun sahaja untuk dimusnahkan," katanya.

Tambahnya, sistem sekarang yang mewajibkan para hakim (termasuk Dzaiddin) bersara pada umur 65 tahun, perlu dikajisemula kerana pemegang jawatan ketua hakim negara sepatutnya dilantik bagi tempoh sekurang-kurangnya empat tahun bagi memastikan dasar-dasarnya sempat dilaksanakan dengan berkesan.

Shaik Daud juga berpendapat perlantikan para hakim hendaklah lebih telus bagi menjaminkan keyakinan berterusan orang ramai terhadap sistem penghakiman negara.

Calon lain yang sesuai

Ditanya mengenai kenyataan peguam Raja Aziz Addruse yang mempertikaikan perlantikan Datuk Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sebagai Ketua Hakim Malaya, Shaik Daud berkata, peguam berkenaan mempunyai alasan yang kukuh untuk meragui perlantikan itu.

Katanya, memang tidak dinafikan bahawa Malik dan seorang lagi hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Siti Norma Yaakob, adalah lebih sesuai untuk dilantik ke jawatan tersebut kerana mereka bukan sahaja kanan, tetapi juga mempunyai pengalaman kerja yang luas, cekap dan berkualiti, jika dibanding dengan Ahmad Fairuz.

"Biar saya jelaskan di sini bahawa saya tidak ada apa-apa bantahan terhadap Ahmad Fairuz tetapi kedua-dua hakim berkenaan (Malik dan Siti Norma) memang lebih layak dan berkebolehan untuk memegang jawatan berkenaan," katanya.

Ditanya mengenai perlantikan bekas Peguam Negara Mokhtar Abdullah sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, Shaik Daud berkata ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan hakim-hakim tertentu.

Katanya, Mokhtar tidak sepatutnya dilantik ke jawatan itu kerana percanggahan kepentingan yang wujud daripada kedudukannya sebelum ini sebagai ketua pendakwaraya.

"Saya rasa ia (perlantikan) ganjaran untuknya. Jika mereka mahu memberinya ganjaran, sepatutnya ditempatkan lain dan bukan dalam bidang kehakiman," katanya.

Elak perlantikan yang boleh dipertikaikan

Katanya, sistem perlantikan hakim sekarang perlu diperbaiki atau ditukar bagi mengelakkan berlakunya perlantikan yang boleh "dipertikaikan" sepertimana yang berlaku dengan kes perlantikan Ahmad Fairuz.

"Saya telah membangkitkan perkara ini sewaktu saya dipanggil oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk bercakap mengenai bidang kehakiman. Saya memberitahu mereka bahawa perlantikan hakim dibuat berdasarkan perakuan oleh ketua hakim negara, kemudian dikemukakan kepada perdana menteri, dan seterusnya kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Sebelum ini, ianya berfungsi dengan baik sekali kerana setiap orang menjalankan tugas tanpa unsur-unsur emosi dan politik. Malangnya, sistem itu nampaknya tidak berkesan lagi dan beberapa perlantikan yang dibuat, telah dipertikaikan. Jadi, sudah tiba masanya kaedah perlantikan itu ditukar," katanya.

Beliau berkata, sistem perlantikan sekarang perlu diganti dengan sebuah suruhanjaya yang dianggotai ketua hakim negara, ketua hakim Malaya, Sabah dan Sarwak, bekas hakim, wakil Majlis Peguam dan wakil bukan parti politik dari masyarakat utama — Melayu, Cina dan India.

Jika suruhanjaya seumpama itu diwujudkan untuk mengendalikan dan membuat keputusan mengenai perlantikan hakim, maka orang awam mempunyai tempat untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap calon-calon yang disyaki terbabit dengan rasuah atau salahlaku.

"Mengikut sistem sekarang, kita tidak tahu langsung siapakah yang dilantik sehingga kita membacanya dalam akhbar keesokannya. Jadi tidak ada peluang langsung untuk membantah perlantikan seseorang yang dilihat tidak sesuai kerana sebab-sebab seperti terbabit dalam rasuah atau salahlaku," katanya.

Perlunya ketulusan

Shaik Daud berkata, orang ramai mengharapkan adanya ketelusan dalam sistem kehakiman kerana mereka sekarang lebih sensitif terhadap isu-isu perundangan dan kebebasan yang menurut beliau mencerminkan suatu perkembangan yang baik untuk negara.

"Ia merupakan satu perkembangan yang baik kerana ia turut membantu perkembangan dalam aspek perundangan, kehakiman dan mencegah salahguna. Sebelum ini kita jarang mendengar laporan mengenai salahguna daripada pihak tertentu, tetapi sekarang mereka tidak akan berdiam diri, sebaliknya menyuarakan bantahan mereka terhadap sebarang salahguna," katanya.

Keadaan ini, katanya, akan turut memberi sumbangan kepada negara kerana rakyat akan dapat memilih dengan baik, pemimpin yang adil dan saksama untuk memerintah negara ini.

"Rakyat tentu tidak mahu pemimpin yang menyalahgunakan kuasa. Kesabaran rakyat ada hadnya. Jika terlalu ditekan, mereka akan melawan balik. Kerana itulah berlakunya demonstrasi. Mereka tidak akan mengadakan demonstrasi jika tidak ditekan."


Ini merupakan bahagian kedua dalam siri wawancara dengan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Shaik Daud Mohd Ismail. Pelanggan malaysiakini boleh membaca laporan penuh wawancara ini dalam bahagian rencana/pendapat, bertajuk "Dubious appointments tainted judiciary's image: ex-judge". Bahagian akhir bersambung esok.