Zam berusaha bersihkan namanya dari pendedahan Taib Azamudden
Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan Datuk Zainuddin Maidin dipercayai sedang berusaha membersihkan imejnya dan beberapa pemimpin Umno yang terbabit dalam pendedahan pemimpin PAS, Taib Azamudden mengenai "rahsia besar" sewaktu menjadi imam Masjid Negara.
Ternyata pendedahan Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Baling itu pada 7 Mei lalu, sebagai menjawab cabaran Zainuddin, yang lebih popular dengan panggilan Zam, telah "memalukan" beberapa pemimpin Umno sendiri.
Walaupun Azamudden tidak mendedahkan identiti 12 pemimpin itu, tetapi laman web pro-reformasi telah memberi butiran terperinci mengenainya dan salah seorang yang disebut ialah Zam sendiri.
Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan Datuk Zainuddin Maidin dipercayai sedang berusaha membersihkan imejnya dan beberapa pemimpin Umno yang terbabit dalam pendedahan pemimpin PAS, Taib Azamudden mengenai "rahsia besar" sewaktu menjadi imam Masjid Negara.
Ternyata pendedahan Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Baling itu pada 7 Mei lalu, sebagai menjawab cabaran Zainuddin, yang lebih popular dengan panggilan Zam, telah "memalukan" beberapa pemimpin Umno sendiri.
Walaupun Azamudden tidak mendedahkan identiti 12 pemimpin itu, tetapi laman web pro-reformasi telah memberi butiran terperinci mengenainya dan salah seorang yang disebut ialah Zam sendiri.
Usaha Zam untuk membersihkan "masalah" yang ditimbulkannya sendiri itu, dapat dilihat apabila laman web Agenda Daily yang dikendalikan oleh bekas wartawan Utusan Malaysia , sewaktu Zam masih menjadi ketua pengarangnya, menyiarkan berita yang mempertahankan Zam.
Laporan laman web itu menyebut wartawannya yang turun ke padang untuk menyiasat kebenaran perkara itu, "mendapati ramai kalangan mereka yang rapat dengan setiausaha Parlimen itu tertawa membaca penyebaran berkenaan."
Laporan itu menyebut, wartawan kanan sebuah akhbar media arus perdana yang dikenali sangat rapat dengan Zam, bertanya balik, "bila tahun yang Datuk Zam ada merujuk kes peribadinya kepada Taib Azzamudden?"
Dia menambah: "Setahu saya dan kawan-kawan lain, beliau tidak kenal dan tidak pernah berjumpa bekas Imam Besar Masjid Negara itu. Macam mana namanya boleh masuk list .Ini awal-awal lagi ternyata adalah satu pembohongan."
Bagaimanpun, laporan menyebut, wartawan kanan itu mengesahkan memang betul isteri Zam mengalami strok sewaktu berada di New Zealand beberapa tahun lalu dan lumpuh sejak itu.
Laporan itu juga menyebut seorang lagi teman rapat berkata beliau terkejut melihat namanya disebut dalam sebaran itu "sedangkan kami semua tahu beliau tidak pernah berjumpa Azzamudden".
Masuk perangkap
Sementara itu, akhbar Utusan Malaysia hari ini turut menyiarkan satu rencana tulisan editor bahagian agama, Astora, yang mendakwa Azamudden telah termasuk dalam perangkap Zam apabila beliau mendedahkan rahsia-rahsia besar pemimpin Umno pada 7 Mei lalu.
Dalam rencananya itu, Astora berkata beliau pada mulanya menyangka Azamudden akan berhati-hati dan bertindak secara lebih berhikmah untuk meredakan isu tersebut jika pun tidak dapat menghentikannya seratus peratus.
Astora mendakwa, selepas isu rahsia besar itu dicanang semula, permintaan telah meningkat terhadap VCD yang mengandungi rakaman pengakuan seorang mangsa salah laku seks oleh seorang pemimpin politik di depan Azamudden.
Beliau mendakwa, VCD inilah yang berjaya mengubahkan pendirian ramai penduduk negara ini, bermula daripada orang awam biasa sehingga kepada golongan cerdik pandai di kalangan pensyarah, guru, ahli korporat, pemikir dan lain-lain.
Malah, Astora turut mencadangkan supaya RTM menimbang penayangan rakaman pengakuan mangsa itu untuk ditonton oleh anggota masyarakat yang belum lagi menyaksinya.
Menurut Astora, pihak terawal yang mendedahkan mengenai pengakuan itu ialah Ahli Parlimen Pas kawasan Kuala Kedah, Mohamad Sabu, akhbar rasmi PAS, Harakah , dan majalah Tamadun , sebelum meletuskan krisis politik besar dalam negara pada tahun 1997-1998.
Katanya, krisis politik berkenaan menguntungkan Pas dan ia berjaya menggunakan rahsia besar itu untuk memfitnahkan kerajaan dalam pilihan raya umum 1999.
Astora juga menyifatkan tindakan Azamudden mendedahkan 12 kes moral itu hampir sama dengan yang dilakukan oleh paderi yang menyeleweng dalam agama Kristian, yang menggunakan pengakuan orang mengaku kesalahan dan dosa untuk bertaubat, sebagai bahan untuk memeras ugut dan mencari kepentingan.
Menurut Astora, beliau tidak berkata Azamudden telah menjadi paderi, "tetapi tindakan beliau mendedahkan rahsia orang yang meminta khidmat kaunseling, pandangan dan nasihat daripadanya jika betul ada orang berbuat begitu hampir sama dengan perbuatan para paderi yang menyeleweng itu."
Astora juga mendakwa kes moral seperti itu pun "berlambak" di kalangan orang Pas, beliau difahamkan ada orang Umno sedang mengumpul maklumat dan bukti kes moral yang melibatkan beberapa pemimpin Pas.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.