PAS tolak kemungkinan kongsi kuasa dengan BN
Mursyidur Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, hari ini dengan tegas menolak sebarang kemungkinan parti itu berkongsi kuasa dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, PAS telah belajar daripada pengalaman pahitnya ketika menyertai BN pada tahun 1973, sebelum parti itu bertindak meninggalkan gabungan dua tahun kemudiannya.
"Sewaktu berkongsi kuasa dengan BN dulu, PAS kena tendang....tidak boleh kongsi kuasa jika sebelah pihak kuat manakala satu pihak lagi lemah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan muktamar Dewan Ulama PAS di Kota Bharu, Kelantan.
Mursyidur Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, hari ini dengan tegas menolak sebarang kemungkinan parti itu berkongsi kuasa dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, PAS telah belajar daripada pengalaman pahitnya ketika menyertai BN pada tahun 1973, sebelum parti itu bertindak meninggalkan gabungan dua tahun kemudiannya.
"Sewaktu berkongsi kuasa dengan BN dulu, PAS kena tendang....tidak boleh kongsi kuasa jika sebelah pihak kuat manakala satu pihak lagi lemah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan muktamar Dewan Ulama PAS di Kota Bharu, Kelantan.
Nik Aziz, yang juga menteri besar Kelantan, berkata perjuangan PAS bukanlah untuk mendapatkan kuasa, atau berkongsi kuasa, tetapi untuk membawa manusia kembali kepada ajaran al-Quran dan Hadis.
"Kita mahu betulkannya menerusi nasihat. Tetapi apabila ianya tidak diterima, kita berdiri sebagai pembangkang sehingga mendapat kuasa memerintah. Dan kami akan menggunakan kuasa itu untuk membetulkan keadaan," tambahnya.
Muktamar Dewan Ulama PAS berlangsung di Kota Bharu, manakala Persidangan Agung Dewan Pemuda Pemuda PAS pula diadakan di Pengkalan Chepa.
Turut berlangsung hari ialah Persidangan Agung Muslimat PAS. Manakala Muktamar Agung PAS akan berlangsung di Pengkalan Chepa, mulai esok.
Nik Aziz juga menyifatkan pengisytiharan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia sebuah negara Islam, sebagai "permainan politik Umno".
Kerana itulah, katanya PAS bertindak menentang keras tindakan Umno membuat pengisytiharan seumpama itu, dengan mendakwa Malaysia tidak memenuhi ciri-ciri sebagai sebuah negara Islam kerana pemerintahannya tidak berdasarkan kepada al-Quran dan Hadis.
Bantahan hukum hudud
Nik Aziz juga di mengulas bantahan 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap Rang Undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) yang mereka dakwa mengandungi peruntukan yang menzalimi dan menganiaya wanita Islam di negara ini.
Menurut beliau, mereka, termasuk Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Shahrizat Jalil, hanya menentang Seksyen 9 rang undang-undang berkenaan yang meletakkan beban membuktikan wujudnya kes rogol ke atas bahu wanita yang menjadi mangsa jenayah tersebut semata-mata.
"Ini bermakna, Datuk Shahrizat dan yang lain-lainnya menerima hukum Hudud secara keseluruhannya, kecuali seksyen 9 berkenaan," katanya.
Menurut seksyen itu, seorang yang mengadu dirinya dirogol dengan tiada bukti yang nyata boleh disabit kesalahan qazaf (membuat fitnah zina) dan dihukum dengan 80 sebatan.
Nik Aziz bagaimanapun, tidak mahu mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor bahawa parti itu akan meminta Kerajaan Kelantan mengkaji semula undang-undang syariah negeri itu yang antara lain, untuk memudahkan proses perkahwinan umat Islam di negeri itu dengan rakyat dari luar negara.
Fadzil berkata, undang-undang itu bukan digubal oleh Kerajaan PAS, tetapi sejak kerajaan BN memerintah dahulu.
"Itu adalah kenyataan Datuk Fadzil....buat masa ini saya tak nak campur...," kata Nik Aziz.
Sedia berdebat
Sebelum itu, dalam ucapannya, Nik Aziz berkata, pihak PAS sedia berdepan dengan Umno untuk membincangkan dakwaan bahawa dalam Amanat Hadi (oleh timbalan presiden parti and menteri besar Terengganu Abdul Hadi Awang), pemimpin PAS itu menuduh bahawa orang Umno adalah kafir.
"Kita bersedia bertemu dengan mereka untuk bermuzakarah mengenai perkara itu, di mana sahaja dan pada bila-bila masa," tambahnya.
Menurut beliau, apa yang ditekankan oleh pemimpin PAS selama ini ialah perbuatan orang Umno yang boleh membawa kepada menjadi kafir.

