Pilihanraya umum akan datang merupakan kesempatan terbaik bagi golongan muda di negara ini, termasuk 680,000 pengundi baru, untuk membuktikan komitmen mereka terhadap perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran, kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Mahfuz Omar hari ini.

Berucap merasmikan muktamar Dewan Pemuda PAS di Kota Bharu, Kelantan, beliau berkata ia juga merupakan landasan terbaik untuk mereka mengubah hala tuju negara daripada berorientasikan kezaliman kepada memenuhi jati diri dan hasrat golongan muda pada masa akan datang.

"PAS telah menawarkan satu pakej yang sangat menarik untuk golongan muda membina peradaban baru berteraskan peradaban 'rabbani' yang mengutamakan kemanusiaan, bukannya peradaban material yang penuh kerakusan," tegasnya.

Menurut beliau, usaha-usaha untuk menggerakkan kesedaran dan kebangkitan rakyat mesti dilakukan dengan semaksimum mungkin.

"Tumpuan mestilah diberi kepada lebih 680,000 pengundi baru yang tidak mengundi dalam pilihanraya 1999.

"Golongan belia yang meliputi hampir separuh daripada rakyat negara ini tidak boleh diabaikan," katanya.

Oleh itu, tegas beliau, Pemuda PAS di semua peringkat perlu bekerja lebih keras untuk mendekati golongan belia dan mahasiswa.

"Sumbangan besar mereka dalam menggerakkan kesedaran rakyat dalam pilihanraya yang lalu telah memberi kredit kepada perjuangan kita," tambahnya.

Menurut beliau lagi, Dewan Pemuda PAS amat menghargai sumbangan besar mereka dalam usaha menegakkan keadilan di negara ini.

Kebebasan disekat

"Kita juga menyedari bahawa lebih 80 peratus kakitangan kerajaan telah memberi sokongan kepada Barisan Alternatif (BA) pada 1999, tetapi kini kebebasan mereka telah disekat oleh 'akujanji' yang menghadkan mereka daripada terlibat dalam politik secara langsung," katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin kakitangan kerajaan tidak akan menjadi 'akujanji' sebagai alasan untuk mengendurkan sokongan mereka kepada BA.

Katanya, walaupun pilihanraya umum kali ini akan lebih mencabar, ekoran pelbagai tekanan dan sekatan politik yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN), tetapi beliau mahu Pemuda PAS menjadikan semua itu sebagai perangsang untuk meningkatkan lagi komitment mereka untuk meruntuhkan kezaliman parti pemerintah.

Beliau mengingatkan bahawa kekuatan Pemuda PAS bukan sahaja terletak kepada ketangkasan dan kekuatan fizikal, tetapi juga minda dan rohnya yang berasaskan akidah yang kuat.

Mahfuz juga menyentuh mengenai usaha Umno dan BN yang didakwanya menggunakan penulis upahan untuk membelasah gerakan Islam, dengan menggunakan media massa sebagai saluran untuk menghina hukum Islam, mencerca Nabi Muhammad dan mengherdik institusi ulama. <> "Nama-nama seperti Kassim Ahmad, Farish A Noor, Akhbar Ali dan Zainah Anwar telah mulai dikenali di negara ini kerana kelantangan mereka menolak hadis, mempertikaikan hukum-hukum Allah, menghina sunnah Nabi dan mencerca insitusi ulama.

"Dewan Pemuda PAS secara terbuka mengutuk tindakan jahat mereka dan mendesak Majlis-majlis Agama Negeri serta Majlis Fatwaq Kebangsaan supaya mengambil tindakan keras terhadap mereka," tegasnya.

Orang bersejarah hitam

Mengenai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Mahfuz turut menyentuh mengenai 'penyingkiran' tokoh berwibawa dan memiliki kredibiliti dalam hak asasi manusia seperti Tan Sri Anuar Zainal Abidin, Prof Mehrun Siraj, Datuk Mahadev Shankar dan Datuk Dr Salleh Mohd Noor.

"Sebaiknya dinobatkan orang yang mempunyai sejarah hitam dan terpalit dengan skandal pemusnahan video seks DP Vijandran, gagal membuat pendakwaan dalam skandal RM2.5 bilion Bank Bumiputra dan terlibat dalam kes bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas.

"Inilah yang membimbangi keyakinan rakyat terhadap hak-hak asasi manusia di negara kita. Saranan bekas pengerusi Suhakam, Tan Sri Musa Hitam agar institusi tersebut diberikan kuasa pendakwaan dan penguatkuasaan dipandang sinis oleh kerajaan BN," katanya.