PAS akan mengikut prosedur pemilihan Perdana Menteri yang diamalkan sekarang jika pembangkang memenangi pilihanraya umum akan datang, di mana pemimpin parti yang memenangi majoriti kerusi Dewan Rakyat, akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agung untuk menerajui kerajaan persekutuan.

Sumber tertinggi parti itu memberitahu malaysiakini , bahawa itulah kaedah terbaik yang boleh digunakan untuk menentukan calon perdana menteri di kalangan parti gabungan pembangkang, sekiranya mereka berjaya memerintah negara ini.

"Sehingga ini, itulah cara yang akan PAS ikuti," katanya ketika diminta mengulas laporan Berita Keadilan , akhbar rasmi parti Keadilan, bahawa gabungan Barisan Alternatif (BA) telah bersetuju pada dasarnya untuk mencalonkan semula Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, jika gabungan pembangkang itu memenangi pilihanraya umum akan datang.

Menurut laporan, persetujuan telah dicapai di kalangan pemimpin parti komponen BA sewaktu mereka menghadiri bengkel politik BA di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Mengulas lanjut perkara itu, sumber tersebut berpendapat, setiap parti gabungan BA berhak mengemukakan calon perdana menteri masing-masing menjelang pilihanraya umum akan datang.

Bagaimanapun, katanya jika pembangkang menang pilihanraya, keputusan muktamadnya bergantung kepada parti mana yang memenangi majoriti kerusi Dewan Rakyat dan pemimpinnyalah yang akan dilantik sebagai perdana menteri.

Katanya, begitu juga dengan laporan yang menyebut Keadilan mahu menjadikan Selangor sebagai sasaran utama parti dalam pilihanraya umum akan datang, dan mahu parti itu diberi peluang bertanding di sebahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Difahamkan, parti Keadilan mencadangkan supaya PAS, yang juga parti gabungan BA, menumpukan perhatiannya untuk mempertahankan kedua-dua negeri, Kelantan dan Terengganu yang diperintah oleh parti itu.

Satu parti

Manakala pemimpin Keadilan berpendapat, sudah tiba masanya, parti itu diberi peluang untuk mencuba menawan Selangor dalam pilihanraya umum kali ini. Pada masa ini, terdapat enam ahli DUN pembangkang di Selangor, iaitu satu Keadilan, empat PAS dan satu DAP.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, sumber tertinggi PAS itu juga berkata, parti Keadilan juga berhak mengemukakan sebarang cadangan untuk dirundingkan bersama dengan parti komponen yang lain, menerusi majlis presidennya.

Ditanya mengenai usaha Keadilan untuk mendaftarkan BA sebagai sebuah parti politik dan calon-calonnya akan bertanding di bawah satu lambang yang sama, sumber PAS berkata usaha seumpama itu memerlukan perbincangan yang teliti terutama dalam aspek keahliannya.

"Ini kerana ia membabitkan banyak perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, sebelum permohonan seumpama itu boleh dikemukakan kepada pihak berkenaan."

Antaranya, kata beliau, ialah mengenai aspek keahliannya, sama ada dalam bentuk individu atau parti politik dan kaedah-kaedah yang bakal digunakan dalam soal pemilihan calon pilihanraya dan sebagainya.

Lantaran itu, kata beliau, perkara itu bukanlah semudah yang difikirkan oleh sesetengah pihak, kerana ia juga memerlukan masa untuk diputuskan.