PAS rancang lancar memorandum negara Islam
PAS akan melancarkan Memorandum Negara Islam untuk menghapuskan sebarang kebimbangan rakyat, terutama yang bukan Islam terhadap konsep pemerintahan Islam, kata presidennya.Datuk Fadzil Noor hari ini.
Melalui memorandum itu, yang bertajuk 'Model pemerintahan Islam dalam abad ke-21', PAS akan memberi penerangan dan penjelasan tentang kedudukan pemerintahan Islam yang sebenarnya, kata Fadzil ketika merasmikan Muktamar PAS ke-48 di Kota Bharu, Kelantan.
PAS akan melancarkan Memorandum Negara Islam untuk menghapuskan sebarang kebimbangan rakyat, terutama yang bukan Islam terhadap konsep pemerintahan Islam, kata presidennya.Datuk Fadzil Noor hari ini.
Melalui memorandum itu, yang bertajuk 'Model pemerintahan Islam dalam abad ke-21', PAS akan memberi penerangan dan penjelasan tentang kedudukan pemerintahan Islam yang sebenarnya, kata Fadzil ketika merasmikan Muktamar PAS ke-48 di Kota Bharu, Kelantan.
Menurut Fadzil, ia akan dilancarkan secepat mungkin sebelum berlangsungnya pilihanraya umum akan datang bagi mengetengahkan rangka pemerintahan Islam yang menjadi model untuk dihazam oleh masyarakat.
Dalam ucapan itu, Fadzil telah menggariskan tujuh ciri-ciri utama dalam pemerintahan Islam, antaranya pewujudan masyarakat madani dan negara yang membina tamadun dan kemanusian, prinsip kesaksamaan, kedaulatan undang-undang berdasarkan perundangan dan syariat Islam.
Ciri-ciri lain pula ialah pemerintahan berteraskan dan bermatlamat keadilan, pemerintahan yang mendukungi prinsip kelayakan yang sebenar, negara berkebajikan dan sistem pemerintahan yang dinamik dan inovatif.
"Saya percaya apabila PAS selesai mengemukakan memorandum ini kepada rakyat, kita akan merasa terpanggil untuk segera merealisasikan idealisma ini.
"Ianya diharap akan menjadi pencetus dialog dan wacana minda yang subur dan akan berhasil mencari titik pertemuan berbagai peradaban, kepercayaan dan pegangan politik rakyat negara ini," katanya.
Hubungan dengan DAP
Ketika ditanya sewaktu sidang akhbar kemudiannya, Fadzil berkata, memorandum itu akan dilancarkan lebih awal kerana parti itu menjangka kerajaan tidak akan memberi tempoh yang panjang untuk kempen pilihanraya.
Ditanya apakah reaksi parti komponen lain dalam Barisan Alternatif (BA) terhadap rancangan PAS untuk menerbitkan memorandum itu, Fadzil berkata, pihaknya akan memaklum dan memberi maklumat awal kepada Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), sebelum ianya dihebahkan kepada umum.
"Memorandum itu telah kita siapkan, dan hanya menunggu masa untuk kita umumkan secara menyeluruh kepada rakyat. Ia merupakan prinsip-prinsip besar yang perlu difahami semua kaum bahawa pemerintahan Islam adil untuk semua rakyat," katanya.
Ditanya sama rancangan menerbitkan memorandum itu akan menjejaskan terus hubungan PAS dengan DAP, yang sebelum ini meninggal Barisan Alternatif kerana tidak sehaluan dengan perjuangan parti itu untuk menegakkan sebuah negara Islam, Fadzil berkata:
"Dalam pilihanraya kita akan keluarkan manifesto BA, bukannya manifesto PAS. Jadi baiklah kita mengambil kira pandangan semua pihak, terutama dalam BA.
"Manakala dalam memorandum itu kita akan terangkan apa dia pemerintahan Islam bagi menghilangkan kebimbangan rakyat akibat propadaganda Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Oleh itu, Fadzil percaya tindakan PAS menerbitkan memorandum berkenaan tidak akan menjejaskan hubungan parti itu dengan DAP atau kehilangan sokongan daripada kaum-kaum lain.
Malah, katanya, dalam menghadapi pilihanraya umum, PAS tidak akan menolak sekiranya ada kesediaan di pihak DAP untuk berkerjasama dengan BA sebagai pembangkang kepada BN.
Isu Anwar
Mengenai pengagihan kerusi, Fadzil berkata seboleh-bolehnya BA akan mengekalkan strategi pilihanraya umum 1999 dengan meletakkan calon satu lawan satu.
"Kalau DAP setuju, parti itu boleh berbincang dengan BA supaya tidak berlaku pertandingan selain daripada satu lawan satu," tegasnya.
Mengenai penubuhan 'Barisan Rakyat', Fadzil berkata cadangan mengenainya dikemukakan dalam bengkel BA di Kuala Terangganu baru-baru, tetapi Majlis Presiden BA belum lagi bermesyuarat untuk membuat sebarang keputusan mengenainya.
Ketika diminta mengulas ucapannya yang menyentuh kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata Umno memang berusaha untuk menghapuskan isu itu yang amat ditakuti parti itu dalam pilihanraya umum lalu.
"Tetapi bagi kita isu Anwar masih hidup dalam hati rakyat. Rata-rata mereka mengharapkan Datuk Seri Anwar akan dibebaskan dan memainkan peranan penting dalam politik negara. Adalah tidak adil selepas dihukum, beliau tidak dibenarkan mendapat rawatan.
"Ini bukan sahaja bertentangan dengan hak asasi manusia, tetapi juga Akta Penjara yang membenarkan mereka yang dipenjara memilih untuk mendapatkan rawatan. Dalam Islam, kita tidak boleh menyeksa orang yang telah dijatuhkan hukuman," tambahnya.
Mengulas mengenai pertemuan Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden Bush baru-baru ini, Fadzil berkata Perdana Menteri tidak berjaya mendapatkan sokongan Kerajaan Amerika mengenai isu Anwar, apabila negara itu mengulangi pendiriannya bahawa Anwar adalah tahanan politik.
Oleh itu, beliau menyifatkan pertemuan Dr Mahathir dan Presiden Bush tidak lebih daripada satu peluang kepada Perdana Menteri untuk menyatakan pendirian sama Malaysia dengan Amerika.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.