analisis

Muktamar PAS di Kelantan hujung minggu lalu mungkin mencatatkan satu kenangan bagi Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau dikatakan agak terperanjat apabila pengawal keselamatan parti yang mengawal di pintu utama Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), tidak membenarkan kenderaanya, masuk ke pusat itu bagi merasmikan muktamar Dewan Pemuda PAS.

Menurut seorang petugas di bilik sekretariat, ia berlaku kerana pengawal keselamatan terbabit tidak mengenali kenderaan Haji Hadi, sehinggalah mereke diberitahu bahawa 'penghuni' kereta itu 'diperlukan' untuk merasmikan muktamar Dewan Pemuda PAS.

Pada hari yang sama, beberapa wartawan media perdana dilaporkan tidak dibenarkan oleh pengawal keselamatan PAS untuk masuk ke dewan tempat berlangsungnya Muktamar Dewan Muslimat PAS di sebuah hotel di Kota Bharu.

Memang penulis sendiri dapat melihat betapa 'dedikasinya' para pengawal keselamatan PAS bertugas sepanjang tiga hari muktamar PAS berlangsung di Putik, terutamanya ketegasan mereka mengawal lalulintas. Tidak putus-putus kedengaran bunyi tiupan wisel mereka mengawal kenderaan yang lalu di depan dewan itu.

. Namun, di sebalik ketegasan mereka, ketegangan juga dapat dirasai di dewan utama di mana para perwakilan meluahkan perasaan mereka, sama ada terhadap 'musuh politik mereka, Umno', ataupun menegur pucuk pimpinan.

Salah satu perkara yang diberi penekanan oleh ramai perwakilan yang berucap sepanjang tiga hari itu ialah soal pentingnya PAS menarik sokongan bukan Islam untuk terus menyokong parti itu di samping memastikan mereka tidak terus 'memusuhi" PAS kerana memperjuangkan penubuhan negara Islam.

Seorang perwakilan mengingatkan pucuk pimpinan PAS bahawa lebih 90 peratus rakyat Kelantan dan Terengganu yang kini dikuasai kerajaan PAS adalah orang Islam. Tetapi beliau bertanya bagaimana pula strategi PAS jika parti itu mahu meluaskan pengaruhnya ke negeri-negeri lain di mana peratus rakyat bukan Islam lebih tinggi.

Umpan pilihanraya

Jelas sekali, nada mereka, serta intipati ucapan pucuk pimpinan PAS ketika menggulung perbahasan, berbau pilihanraya. Sudah pasti mereka juga dapat menghidu usaha gigih Umno untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu.

Ini termasuk isu-isu pendidikan di mana Kerajaan pimpinan Umno telah mengumumkan bahawa pelajar bukan Melayu akan dibolehkan mengikuti kursus Matrikulasi dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Keputusan menyediakan peruntukan 10 peratus untuk pelajar bukan Melayu, jelas dibuat secara tergesa-gesa yang biasanya dilakukan dalam musim pilihanraya. Namun begitu, kerajaan juga menegaskan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) tidak akan dibuka kepada bukan Melayu, sebaliknya akan dikekalkan untuk pelajar bumiputra sahaja. Itu juga cakap pilihanraya.

Menyedari pilihanraya umum semakin hampir, PAS, pada masa yang sama, juga sedang berusaha untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu. Dalam muktamar tiga hari itu, soal mendapat sokongan bukan Melayu menjadi salah satu tajuk perbincangan para perwakilan.

Sebagai contohnya, beberapa perwakilan PAS mencadangkan supaya bukan Islam diterima sebagai ahli bersekutu parti itu bagi menggalakkan mereka mendekati dan mengenalinya dengan lebih dekat lagi.

Menurut mereka, parti itu jelas telah menerima sokongan daripada bukan Islam di kawasan pilihanraya yang dimenangi PAS, tetapi ianya tidak harus dibiarkan berlaku semasa berlangsungnya pilihanraya sahaja.

Setidak-tidaknya, kata mereka, pimpinan PAS perlu menyediakan saluran-saluran khusus untuk membolehkan bukan Islam mendekati parti itu supaya tidak terus wujud prasangka mereka terhadap PAS.

Memorandum Negara Islam

Selain itu, Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor juga, dalam ucapannya, telah mengumumkan langkah partinya untuk melancarkan Memorandum Negara Islam bagi menerangkan secara terperinci mengenai konsep pemerintahan Islam.

Ketika ditemui pemberita, Fadzil secara tidak langsung mengakuinya ianya adalah untuk menghadapi pilihanraya ini. Katanya, memandangkan kemungkinan tempoh kempen pilihanraya umum dipendekkan, PAS akan melancarkan memorandum itu secepat mungkin.

Ramai pemerhati politik menyifatkan perkembangan semasa yang menarik ini, ada kaitan langsung dengan kemungkinan pilihanraya umum yang dijangka diadakan pada bila-bila masa sahaja tahun depan.

Malah, seorang pemimpin tertinggi PAS, ketika ditanya bilakah pilihanraya umum bakal diadakan, berkata: "Kalau tidak kerana krisis dalam MCA, saya rasa ianya diadakan pada tahun ini juga, kerana selepas serangan 11 Sept, keadaan politik di negara ini berpihak kepada Barisan Nasional (BN)".

Kenyataan itu, jika diperhatikan, jelas mencerminkan sokongan pengundi Cina amat diperlukan oleh Umno dan BN. Krisis dalam kepimpinan MCA berikutan isu pembelian akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press , telah mewujudkan dua kumpulan dalam parti itu — Team A pimpinan Datuk Seri Ling Liong Sik (presiden) dan Team B pimpinan Datuk Lim Ah Lek (timbalan presiden).

Dalam keadaan sedemikian, sudah tentulah yang bakal mengaut 'keuntungan' daripada perpecahan dalam MCA itu ialah parti pembangkang seperti PAS, dan parti yang berasaskan sokongan orang bukan Melayu seperti DAP.

Maka, tindakan kepimpinan Umno, memberi perhatian kepada isu pendidikan — yang selama ini, memang menjadi isu utama dan hangat diperbincangkan di kalangan masyarakat Cina — dianggap sebagai salah satu langkah untuk "melunakkan" hati mereka.

Kuda tunggangan

Sememangnya masyarakat Cina tidak selesa dengan cadangan menubuhkan 'sekolah wawasan' yang mereka anggap boleh menjejaskan kewujudan sekolah jenis kebangsaan Cina. Suasana ini sepatutnya memberi 'sokongan bonus' kepada Barisan Alternatif (BA), tetapi tindakan awal DAP meninggalkan BA, telah menjejaskan peluang itu.

Sebaliknya, kewujudan PAS sebagai salah satu parti komponen utama dalam BA, membuat gagasan itu lebih dilihat dari segi kesungguhan PAS untuk menrealisasikan perjuangan utamanya untuk mewujudkan sebuah negara Islam.

Walaupun Keadilan juga merupakan salah satu komponen utama BA, namun pengaruh parti itu dilihat tidaklah sehebat semasa di peringkat awal penubuhannya untuk menghadapi pilihanraya umum pada 1999.

Malah, kenyataan Presiden Keadilan, Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini bahawa kedudukan pembangkang semakin lemah berikutan pelbagai isu-isu nasional sekarang, dilihat sebagai "satu luahan hati dan cerminan keadaan Keadilan itu sendiri".

Dalam keadaan sedemikian, maka tidak dapat disalahkan orang ramai jika mereka melihat BA sekarang menjadi 'kuda tunggangan' PAS untuk mendapatkan sokongan daripada bukan Islam.

Anggapan sedemikian juga membuat PAS sendiri merasa kurang selesa, dan merasakan perlu berbuat sesuatu bagi mengelak kesan negatifnya terhadap BA, khususnya PAS, dalam menghadapi pilihanraya umum nanti.

Malah, Datuk Fadzil sendiri sewaktu ditemui ketika muktamar itu, berkata PAS sebagai sebuah parti pembangkang, sentiasa membuka pintu untuk bekerjasama dengan DAP, bagi menghadapi BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Tidak yakin

Tawaran PAS itu, walaupun atas nama kepentingan bersama pembangkang, masih boleh dianggap sebagai "ketidak keyakinan" PAS untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang tanpa bersama DAP bagi memastikan sokongan pengundi bukan Melayu.

Manakala Keadilan pula masih mampu membantu PAS untuk "mencelarukan" undi Melayu, khususnya di kalangan ahli Umno, yang masih beranggap bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjadi "mangsa konspirasi politik" kepimpinan tertinggi Umno.

Selain itu, PAS juga tidak dapat mengelak daripada mengambil langkah segera untuk memperjelaskan perjuangannya untuk mewujudkan negara Islam, dengan melancarkan Memorandum Negara Islam, secepat mungkin.

Sebenarnya bebanan PAS semakin berat, kerana dalam pilihanraya umum akan datang, parti itu mempunyai dua tanggungjawab — Pertama sebagai sebuah parti pemerintah di Kelantan dan Terengganu, PAS perlu mengekalkan kuasanya di kedua-dua negeri berkenaan.

Kedua, PAS juga mahu meluaskan kemenangannya meliputi negeri-negeri lain, terutama di mana parti itu telahpun memenangi beberapa kerusi dalam pilihanraya umum lalu, seperti di Kedah, Perlis, Pahang, Perak dan Selangor.

Selain pentingnya faktor bukan Melayu kepada PAS, para perwakilan juga menimbulkan perkara-perkara yang perlu diperbaiki segera bagi menghadapi pilihanraya umum dengan lebih selesa. Ikutilah bahagian kedua esok.

Analisis ini merupakan bahagian pertama daripada empat siri yang menyentuh kekuatan, kelemahan, dan strategi PAS untuk menghadapi pilihanraya umum, termasuk usahanya untuk menjelaskan konsep negara Islam yang diperjuangkanya.

Tiga siri berikutnya hanya untuk pembaca yang melanggani malaysiakini bermula esok.


Nash Rahman adalah editor malaysiakini .