Kongres Perpaduan Melayu dijadual sebulan lagi

comments     Nash Rahman     Published     Updated

Usaha sedang dibuat untuk mengadakan kongres perpaduan Melayu yang akan mengumpulkan semua pertubuhan Melayu untuk mencari satu titik pertemuan yang boleh merealisasikan matlamat menyatukan bangsa Melayu.

Malaysiakini difahamkan, kongres tersebut dijadual akan berlangsung dalam tempoh kira-kira sebulan lagi sebagai susulan kepada pertemuan di antara Presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS Datuk Fadzil Noor.

Di majlis tersebut yang dianjurkan bersama oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Mahathir dan Fadzil mengambil bahagian dalam ucap perdana, untuk menyatakan sokongan bersama kepada perjuangan rakyat Palestin menentang kekejaman Israel.

Ianya sebagai lambang perpaduan umat Islam di negara ini tanpa mengira perbezaan fahaman politik dalam menyokong penentangan rakyat Palestin untuk membebaskan negara mereka daripada ancaman Israel.

Sumber yang rapat dengan pihak penganjur berkata pihaknya sengaja tidak membabitkan penyertaan sebagang parti politik di peringkat ini bagi mengelak unsur-unsur politik mempengaruhi perjalanan kongres itu nanti.

Menurutnya, yang penting orang Melayu mesti bersatu terlebih dahulu, barulah bangsa Melayu secara keseluruhannya akan menjadi sebuah bangsa yang kuat.

PAS dan Umno tidak diundang

"Kini orang Melayu berpecah menyebabkan bangsa lain setengahnya menyokong Umno dan setengah lagi menyokong PAS. Macam kita hendak bersatu seandainya ketua-ketua parti Melayu tidak bersefahaman," tambahnya.

Oleh itu, katanya, persefahaman merupakan syarat utama untuk mewujudkan perpaduan di kalangan orang Melayu yang bertelagah.

"Pastinya dalam keadaan sedemikian, sudah tentu ada pihak lain yang akan "mengaut di air yang keruh."

"Selagi PAS dan Umno terus bercakaran, ia bermakna bukan sahaja orang Melayu tidak bersatu padu, malah orang Cina pun tidak bersatu padu kerana ada yang akan menyokong Umno dan ada pula yang menyokong PAS," katanya.

Kerana itu jugalah, katanya, pihak penganjur mengambil keputusan tidak akan mengundang sebarang parti politik, termasuk PAS dan Umno, menyertai kongres yang dicadangkan itu.

"Kita akan utamakan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan pertubuhan Melayu bagi bergabung tenaga untuk mencari sebaik jalan penyelesaian untuk menyatukan orang Melayu, khususnya di arena politik tanahair," tambahnya.

Selepas kongres itu, katanya, rumusan mengenainya akan dikemukakan kepada Umno dan PAS untuk pertimbangan para pemimpin tertingginya, sebelum menentukan langkah berikutnya.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In