Parti Rakyat Malaysia (PRM) hari ini membantah keras penangkapan pengerusi DAP Lim Kit Siang semalam ketika beliau mengedarkan risalah di pasar Pasir Pinji, Ipoh.

Dalam satu kenyataan hari ini, presiden PRM Dr Syed Husin Ali berkata menerusi tindakan tersebut, parti pemerintah Barisan Nasional (BN) cuba hendak mengugut dan menyekat parti-parti pembangkang supaya tidak mengedarkan risalah.

"Nampaknya, semakin dekat pilihanraya umum, semakin kelam-kabut pihak pemerintah dan semakin liar tindakan mereka (melalui polis) terhadap pihak pembangkang.

"BN turut menggunakan polis bagi menyekat pihak pembangkang mengadakan ceramah-ceramah untuk menerangkan dasar mereka dan menjawab segala tohmahan serta tuduhan palsu dari pihak BN," ulas beliau lagi.

Syed Husin menambah, para pemimpin BN tanpa segan silu memperalatkan media perdana sepenuhnya untuk menyebar propaganda palsu yang memburuk-burukkan pemimpin dan parti pembangkang.

Polis menahan Lim dibawah Akta Hasutan 1948 semasa beliau mengedarkan risalah-risalah bersempena dengan pelancaran kempen "Kata Tidak Kepada 929" oleh DAP di Ipoh pagi semalam.

Walau bagaimanapun, beliau telah dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 selepas kira-kira tiga jam. Beliau juga diminta untuk melaporkan diri ke mahkamah majistret Ipoh pada Julai 5.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Che Sab Hanafiah telah mengesahkan kepada malaysiakini bahawa Lim ditangkap kerana mengedarkan risalah yang dikatakan berunsur hasutan.

Risalah itu menyebut tentang pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam pada September 29 (929) tahun lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. DAP menegaskan bahawa Malaysia masih sebuah negara sekular.