versi terkini Polis hari ini secara mendadak menyerbu rumah seorang pengarah 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Kamaruddin dan merampas kelengkapan komputer di saat-saat beliau ingin dibebaskan selepas ditangkap semalam.

Raja Petra dan isterinya, Marina Abdullah, bersama tujuh yang lain ditangkap malam tadi dalam satu perhimpunan berdekatan Stadium Merdeka bagi menyokong Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional, Mohamad Ezam Mohd Nor yang ditahan sehari sebelum itu.

Polis bergerak ke rumahnya di Sungai Buloh, Selangor kira-kira jam 5.30 petang dan membawa unit pemprosesan pusat (CPU) itu ke balai polis Jalan Stadium lebih kurang dua jam kemudian.

Raja Petra bertugas sebagai pengendali [#1] laman web FAC [/#] (FreeAnwar Campaign), yang bertujuan menggerakkan kempen antarabangsa berhubung perbicaraan dan perkembangan terkini bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laman web itu juga menerbitkan berita-berita perkembangan politik negara daripada pelbagai sumber, selain dokumen-dokumen penting berhubung perbicaraan Anwar dan reaksi beberapa negara luar dan institusi antarabangsa.

Lapan tahanan, termasuk tiga wanita, dibebaskan menjelang jam 7 petang tadi. Bagaimanapun Raja Petra dibebaskan hampir sejam selepas itu.

Malaysiakini tidak dapat memastikan sama ada polis turut mengambil dokumen-dokumen lain. Usaha menghubungi Raja Petra setakat ini gagal.

Sebagai reaksi segera, seorang lagi pengarah FAC Khalid Jaafar menyifatkan tindakan itu sebagai "angkuh dan bertujuan mengugut usaha kempen tersebut."