Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor sedang berehat di Unit Rawatan Kardiologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras, Kuala Lumpur selepas menjalani peperiksaan jantung Khamis lalu.

Menurut Setiausaha Politiknya, Dr Hatta Ramli, presiden PAS itu pergi ke hospital berkenaan Khamis lalu untuk menjalani rawatan rutinnya di situ.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat, berkata Fadzil masih berehat di hospital serta menjalani rawatan seperlunya.

"Datuk Fadzil memang mempunyai temujanji untuk menjalani pemeriksaan tersebut. Ia adalah pemeriksaan rutin," kata beliau ketika dihubungi malaysiakini .

Difahamkan, temujanji itu adalah sebagai rawatan susulan selepas presiden PAS itu dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu pada 10 Mei lalu selepas mengadu sakit dada setibanya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Fadzil, yang juga ketua pembangkang, ke Kuala Terenggau untuk menghadiri perjumpaan tertutup dengan para pemimpin pakatan pembangkang Barisan Alternatif (BA) yang berlangsung pada 11 dan 12 Mei.

Difahamkan keadaan kesihatan Fadzil,65,agak terjejas dipercayai berpunca akibat tekanan kerja sewaktu beliau menghadiri Muktamar PAS yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan, minggu lalu.

Presiden PAS, yang juga ketua pembangkang, telah menghadiri sepenuhnya semua sessi perbahasan sepanjang muktamar tiga hari ini bagi mendengar sendiri pelbagai isu dan pandangan perwakilan PAS dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.