Fadzil Noor di bawah penjagaan rapi, masih belum sedar

comments     Yusof Ghani     Published     Updated

Presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor masih belum sedar sepenuhnya, 24 jam selepas menjalani pembedahan jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) semalam.

Sehingga jam 4 petang ini, Fadzil sedang pulih dari pembedahannya, tetapi masih belum sedar sepenuhnya dari kesan bius.

"Buat masa ini, kami memberikan beliau penjagaan yang rapi," kata Pengarah HUKM, Prof Dr Zulkifli Ismail, Zulkifli ketika dihubungi malaysiakini .

Ditanya bilakah Ketua Pembangkang berusia 65 tahun itu dijangka pulih sepenuhnya, Dr Zukifli berkata agak sukar untuk menjangkakan perkara tersebut buat masa ini.

Sementara itu, Pengerusi DAP Lim Kit Siang serta beberapa ahli Parlimen DAP, yang menziarahi Fadzil tengahari ini memberitahu wartawan keadaan Fadzil masih lagi kritikal, tetapi diberi penjagaan yang cukup baik.

"Beliau sedang pulih, tetapi mungkin mengambil sedikit masa untuk pulih sepenuhnya daripada pembedahan tersebut," katanya.

Penyokong parti

Sementara itu, mreka yang rapat dengan Fadzil, termasuk ahli keluarga dan setiausaha politiknya Dr Mohd Hatta Ramli, enggan membuat sebarang ulasan.

Berpuluh-puluh penyokong parti dan ahli keluarga mereka menunggu di luar Unit Rawatan Rapi (ICU), tempat Fadzil sedang dirawat walaupun tidak berpeluang menziarahinya.

Turut menziarahi beliau ialah bekas pemimpin PAS yang juga Pengerusi Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim), Haji Nakhaie Ahmad.

Fadzil, yang juga ahli Parlimen Pendang, menjalani pembedahan lima jam semalam mulai jam 8.30 pagi sebelum dimasukkan ke ICU. Beliau dimasukkan ke HUKM Khamis lalu untuk menjalani pemeriksaan rutin.

Pada Mei 10 lepas, beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu selepas mengadu sakit dada setibanya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Keadaan kesihatan beliau dipercayai terus merosot akibat tekanan kerja, terutamanya selepas menghadiri Muktamar PAS bermula Mei 31 hingga Jun 2 lepas.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In