Keadaan Fadzil Noor masih tidak berubah
Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor, masih tidak sedarkan diri dan keadaannya dipercayai kritikal selepas menjalani pembedahan pintasan koronari di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Isnin lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang melawat ketua pembangkang itu di Unit Rawatan Rapi (ICU), HUKM jam 3 petang tadi, berkata Fadzil masih belum lagi sedar selepas pembedahan tersebut.
"Masa saya melawatnya tadi, beliau (Fadzil) sedang tidur. Saya tengok sekejap sahaja," kata Abdullah kepada pemberita.
Bagaimanapun, Abdullah enggan mengulas lanjut mengenai keadaan kesihatan Fadzil.
"Saya bukannya doktor...jadi lebih baik saya jangan bercakap soal perubatan. Doktor akan mengeluarkan kenyataan dari masa ke semasa."
Keadaan kritikal
Disoal mengenai harapan beliau terhadap Fadzil, Abdullah menjawab: "Saya harap beliau dapat pulih balik."
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Zainal Abidin Zin yang turut menziarahi presiden PAS itu, memberitahu pemberita yang keadaan Fadzil adalah "kritikal".
Pihak HUKM, ketika dihubungi malaysiakini berkata kenyataan selanjutnya akan dikeluarkan dalam sehari dua lagi.
Fadzil, 65, menjalani pembedahan pintasan koronari Isnin lalu setelah mendapatkan rawatan susulan di HUKM selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu pada Mei 10 lalu selepas mengadu sakit dada.
Ahli Parlimen Pendang itu seterusnya dimasukkan ke ICU di bawah perhatian doktor pakar selepas menjalani pembedahan selama lima jam.
Tugas rasmi Fadzil sebagai presiden parti kini diambil alih oleh timbalannya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga menteri besar Terengganu.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now