Keadaan Fadzil Noor bertambah baik

comments     Yusof Ghani     Published     Updated

Keadaan Presiden PAS Datuk Fadzil Noor dipercayai "semakin pulih" hari ini walaupun masih tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan pintasan pembuluh jantung Isnin lalu.

Ketua Pembangkang yang berusia 65 tahun itu, masih lagi diberikan perhatian rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Univerisiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), lanjutan daripada pembedahan selama lima jam itu.

Menurut editor akhbar rasmi PAS Harakah Zulkifli Sulong, Fadzil dikatakan semakin pulih berbanding hari-hari sebelumnya.

"Secara klinikal keadaan Fadzil semakin baik hari ini. Beliau juga semakin stabil tetapi masih belum sedar sepenuhnya."

Kenyataan rasmi mengenai keadaan Ahli Parlimen Pendang itu akan dikeluarkan oleh pihak hospital esok.

"Buat hari ini, kami tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan," menurut sumber HUKM ketika dihubungi malaysiakini .

Pagi tadi, naib presiden PAS Datuk Mustafa Ali dan setiausaha agungnya Nasharudin Mat Isa telah menziarahi Fadzil.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melawat Fadzil memberitahu wartawan bahawa beliau berharap Fadzil akan pulih sepenuhnya dari pembedahan tersebut.

Bagaimanapun, Abdullah tidak mengulas lanjut mengenai kesihatan Fadzil.

Lawatan dibatal

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin, yang turut sama melakukan lawatan tersebut, keadaan Fadzil adalah "kritikal".

Menurut satu lagi sumber, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, yang kini mengambil alih tugas Fadzil, turut membatalkan rancangan beliau untuk ke Amerika Syarikat semalam.

Fadzil dimasukkan ke HUKM Khamis minggu lepas untuk menjalani pemeriksaan susulan akibat serangan jantung pada 10 Mei lalu.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In