DAP kemukakan usul terhadap Hamid Albar
DAP akan mengemukakan usul di Parlimen minggu depan terhadap Datuk Seri Syed Hamid Albar kerana mendakwa beliau gagal memenuhi tanggungjawabnya selaku menteri luar, untuk mewujud dan melaksanakan pelan bertindak untuk menggalak dan melindungi hak asasi manusia.
Dengan itu, kata Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, kerajaan telah gagal memenuhi kehendak Deklarasi dan Program Bertindak Vienna (VDPA) yang diluluskan dalam Persidangan Hak Asasi Manusia Antarabangsa, pada 1983, yang turut dihadiri oleh Malaysia.
Katanya, 171 anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), termasuk Malaysia, tertakluk kepada deklarasi itu.
"Sejak sembilan tahun lalu, ketika negara lain berusaha ke arah itu, sama ada dalam proses melulus, melaksana atau merangka program bertindak itu, konsep hak asasi manusia itu masih 'asing' kepada kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Lim, sewaktu sidang Parlimen bulan Disember 1998, beliau telah menggesa kerajaan supaya merangka pelan bertindak untuk memperkukuhkan institusi hak asasi manusia, demokrasi dan pemerintahan undang-undang di Malaysia, tetapi tidak diendahkan.
"Walaupun sudah hampir satu dekad VDPA diluluskan, tiada sebarang usaha oleh pihak kerajaan Malaysia untuk merangka pelan bertindak itu," tegasnya.
Kerana itu jugalah, kata Lim, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang ditubuhkan pada tahun 2000, masih menghadapi krisis keyakinan dan kewibawaan sepertimana dapat dilihat daripada tindakan badan bukan kerajaan (NGO) memulaukan suruhanjaya selama 100 hari.
Sehubungan itu, beliau berkata, Suhakam tidak boleh menjadi pengganti kepada pelan bertindak itu, bagi merangka tindakan melindungi hak asasi manusia di negara ini, termasuk membawa perubahan yang berorientasikan hak asasi manusia di dalam perundangan negara.
Lantaran itu, katanya, Malaysia telah dianggap sebagai 'negara yang tidak pernah memikirkan' mengenai perancangan pelan bertindak hak asasi manusia, walaupun sudah sembilan tahun VDPA diluluskan.
Tanggungjawab menteri luar
"Dan Syed Hamid perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan Malaysia berbuat demikian, walaupun sudah tiga setengah tahun beliau menjadi menteri luar," katanya.
Lim mendakwa, sepanjang tempoh berkenaan, Syed Hamid tidak pernah mengambil sebarang tindakan ke arah itu.
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal-ehwal hak asasi manusia, beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan itu," katanya.
Sementara itu, Lim mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad supaya mengadakan perbahasan terbuka sama ada tindakan kerajaan mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam, bertentangan dengan Perlembagaan Negara, dan kontrak sosial dengan kaum utama, serta Perjanjian Malaysia pada 1963.
Dr Mahathir, ketika bercakap kepada pemberita di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini sekembalinya dari lawatan rasmi ke Vatican City, Switzerland dan Luxembourg, semalam, menegaskan kerajaan tidak akan menarik balik perisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam seperti yang didesak oleh DAP.
Malah, Perdana Menteri berkata: "DAP sebenarnya telah muflis idea. Dia (Lim) terpaksa cipta isu. Itu saja yang dia boleh fikir sedangkan tak ada sebab pun untuk DAP membuat memo (kempen) tersebut."
Lim berkata, Dr Mahathir berkata demikian kerana "beliau sedar bahawa usaha DAP menentang pengisytiharan itu mendapat sokongan rakyat tanpa mengira bangsa, pegangan politik dan agama".


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.