Rundingan Pemuda MCA gagal

comments     Published     Updated

Rundingan Pemuda MCA yang dijadualkan minggu lalu gagal menjadi kenyataan dan kedua-dua kumpulan masih belum mengemukakan senarai bersama pemegang jawatan bagi penggal 2002-2005.

Menurut laporan Bernama , Pengerusi Jawatankuasa Penyelia tiga anggota Pemuda MCA, Wang Choon Wing, berkata mesyuarat pada Selasa, Khamis dan hari ini tidak mencapai sebarang keputusan kerana satu daripada kumpulan itu yang diketuai timbalan setiausaha agung Pemuda Liow Tiong Lai tidak menghadiri mesyuarat-mesyuarat itu kerana mereka mahu ketua Pemuda yang digantung Datuk Ong Tee Keat menjadi pengantara

Wang juga turut berkata beliau difahamkan Ong bersedia memanggil mesyuarat Pemuda bagi membincangkan perkara itu.

"Saya puas hati mendengarnya dan saya berharap mereka boleh bersabar dan menyelesaikan perkara itu," katanya kepada pemberita di Wisma MCA di sini hari ini.

Beliau berharap masalah itu dapat diselesaikan, terutamanya untuk mengemukakan senarai pemegang jawatan bersama sebelum persidangan perwakilan Pemuda pada 28 Jun.

Kedua-dua kumpulan itu dijadual mengadakan mesyuarat terakhir mereka pada 10 pagi hari ini di Wisma MCA bagi menyediakan senarai bersama pemegang jawatan.

Penyelesaian segera

Bagaimanapun, hanya satu kumpulan yang diketuai naib pengerusi Pemuda yang digantung, Loh Seng Kok, yang juga merupakan setiausaha politik kepada Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, hadir.

Satu senarai bersama pemegang jawatan diperlukan berikutan keputusan Jawatankuasa Pusat untuk mengekalkan status quo dalam parti dari peringkat bahagian ke atas selaras dengan agenda damai dan kestabilan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad untuk menyelesaikan krisis dalam MCA.

Loh berkata mereka diberitahu oleh Wang bahawa satu lagi kumpulan perlukan lebih banyak masa untuk mengatur bagi rundingan selanjutnya.

Pada dasarnya, kata beliau, pihaknya bersetuju hadir sekiranya Ong memanggil mesyuarat bagi menyelesaikan dalam pergerakan itu kerana "kami mahu pergerakan ini berfungsi secepat mungkin".

Jawatankuasa Pemuda Pusat yang diketuai oleh Ong telah digantung oleh Jawatankuasa Pusat (CC) pada 19 Dis lalu berikutan perkelahian pada persidangan perwakilan Pemuda pada 3 Ogos tahun lepas.

Berikutan penggantungan itu, CC telah melantik panel penyelia yang diketuai oleh Wang untuk mengambil alih CC Pemuda.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In