Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Teras saran Dr Mahathir berundur kerana gagal ubah orang Melayu

Pertubuhan Teras Pengupayaan Melayu(Teras) hari ini menggesa Perdana Menteri, yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad supaya bertanggungjawab di atas kegagalannya untuk mengubah orang Melayu selama 21 tahun beliau menyandang kedua-dua jawatan berkenaan.

Oleh itu, Teras berpendapat adalah wajar jika Dr Mahathir berundur daripada terus memegang kedua-dua jawatan perdana menteri dan presiden Umno berikutan kegagalan itu.

"Saranan ini adalah wajar dan tepat kerana beliau sendiri mengakui telah gagal mengubah bangsa Melayu menjadi bangsa yang lebih baik selama 21 tahun ini," kata presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan hari ini.

Teras adalah sebuah badan amanah yang menjalankan aktiviti penyelidikan, pendidikan, pernerbitan, latihan dan penggemblengan orang Melayu.

Mohd Azmi berkata, Dr Mahathir telah membuat luahan mengenai kegagalannya dengan nada yang kesal dalam wawancara Mingguan Malaysia Ahad lalu apabila ditanya harapannya kepada ahli-ahli Umno menjelang perhimpunan pada tahun ini selepas beliau memimpin Umno selama 21 tahun,

Mengikut laporan itu, Dr Mahathir menjawab: "Saya gagal. Saya gagal mencapai perkara yang lebih penting - bagaimana hendak mengubah orang Melayu. Umno pun kadang-kadang menjadi rosak kerana terlampau berebut hendak mendapat tempat sampai sanggup kalau tidak dapat tempat, bagi orang Umno kalah."

Kepimpinan baru

Teras berpendapat perubahan kepada pimpinan yang lain perlu dilakukan demi memulihkan kembali bangsa Melayu yang jauh ketinggalan pada hari ini.

Dalam wawancara itu, Dr Mahathir mengakui bahawa kegagalan Melayu memegang kuasa politik negara adalah berpunca daripada polisi-polisi kerajaan seperti hak istimewa orang Melayu yang digubal oleh Umno pimpinannya sendiri.

"Apa lagi(yang boleh saya lakukan)...Saya telah cuba menjadi teladan,cuba mengajar, memarah, menangis mahupun mendoa," ulas beliau.

"(Tetapi) Saya gagal. Saya gagal mencapai perkara yang lebih penting- bagaimana hendak mengubah orang Melayu," tambahnya.

Apabila ditanya sama ada beliau akan mengubah apa-apa jika beliau dapat balik ke tahun 1981, semasa beliau mula menyandang jawatan sebagai presiden Umno, komponen utama bagi Barisan National(BN), Mahathir berkata beliau tidak akan memilih menjadi pemimpin parti.

Kata Dr Mahathir: "Saya hendak menjadi ahli biasa. Sebab saya tidak dapat membuat apa-apa (untuk orang Melayu)".


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS