Perhimpunan Agung Khas Umno hari ini telah meluluskan pindaan perlembagaan bagi mengesahkan penubuhan Puteri Umno sebagai satu lagi sayap kepada parti yang terbesar di negara ini.
Dengan pengesahan tersebut, pergerakan yang berusia satu setengah tahun itu kini merupakan entiti baru dalam Umno, mengakhiri peringkat penajaannya dengan diketuai Azalina Othman Said.
Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang membawa usul tersebut bagi pihak Majlis Tertinggi, berkata pindaan yang dibuat juga membolehkan ketua pergerakan tersebut diiktiraf sebagai naib presiden parti, menjadikan enam orang kesemuanya
"Umno telah menubuhkan sayap ketiganya iaitu Puteri dan amat wajar sekali pengiktirafan ini diberikan dengan meletakkan ketua puteri sebaris dengan status naib presiden.
"Taraf kepimpinan Puteri adalah setara dengan entiti Pergerakan Pemuda dan Wanita. Kita telah awal-awal lagi melihat kehadapan dan memberikan pengiktirafan kepada sumbangan wanita muda dalam arena politik tanahair," tambah Muhyiddin.
Muhyiddin berkata, langkah meletakkan kedudukan ketua puteri sebagai naib presiden parti dibuat dengan mengambilkira tanggungjawabnya dan pentingnya golongan wanita muda kepada Umno.
Bagaimanapun, pergerakan yang mempunyai 35,000 ahli yang berusia 18 hingga 35 tahun itu, dijadualkan untuk mengadakan pemilihan ahli jawatankuasanya Oktober ini.
Penubuhan Puteri Umno bertujuan menarik golongan wanita muda Melayu menyertai Umno selepas parti itu mengalami kehilangan sokongan orang Melayu di dalam pilihanraya umum 1999.
Bagaimanapun, kepimpinan Azalina telah mula dipertikaikan selepas akhbar tabloid Perdana Sari mendakwa ketua Puteri Umno yang berusia 38 tahun itu, seorang lesbian.
Sikap Azalina juga, yang dikatakan didorong oleh 'kekasihnya', telah menyebabkan enam orang exco pergerakkan tersebut meletakkan jawatan masing-masing.
Sementara itu, wakil-wakil bahagia Umno mengalu-alukan kelahiran Puteri Umno untuk mengukuhkan lagi kedudukan parti itu, terutama menjelang piliharaya umum yang dijangka tidak lama lagi.
Perasaan iri hati
Wakil Ketua Wanita Kangar, Azihani Ali, berkata kelahiran Puteri Umno akan mengukuhkan lagi kedudukan wanita di dalam Umno, yang kini keahliannya berjumlah hampir 1.3 juta orang.
Selaras dengan itu, Azihani menafikan dakwaan wujudnya rasa iri hati antara pergerakan wanita dengan puteri umno, yang dikatakan menjadi punca kepada pendedahan oleh akhbar Perdana Sari .
Wakil Umno Cheras, Datuk Syed Ali Al Habshi menasihati pergerakan Puteri Umno agar bersikap matang dan menjaga pergaulan masing-masing.
Semalam, Azalina berkata Puteri Umno tidak akan menghalang ahli-ahli parti dari mengambil bahagian di dalam pemilihan Oktober ini, termasuklah bekas exco parti.
Beliau turut berkata bahawa "musuh" kepada pergerakan itu bukanlah Wanita Umno, tetapi parti politik pembangkang yang turut menjadi musuh parti itu.
Azalina percaya bahawa ahli-ahli pergerakan yang cuba merosakkan pergerakan itu dari dalam merupakan ahli pembangkang yang cuba meresapi parti itu dari dalam.
