Lihat isu sebenar disebalik perpecahan kaum Melayu, Keadilan seru Dr M

comments     Arfaeza A Aziz     Published     Updated

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad harus berani berhadapan dengan isu politik sebenar orang Melayu jika beliau benar-benar mahu melihat orang Melayu bersatu, kata Parti Keadilan Nasional hari ini.

Timbalan presiden Abdul Rahman Othman, dalam satu kenyataan, berkata Mahathir juga perlu membuat pendirian secara terbuka mengenai isu-isu politik sebenar yang menyebabkan perpecahan diantara kaum Melayu.

Diantara isu-isu yang patut dihadapi oleh Mahathir secara terbuka adalah isu konspirasi politik terhadap bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isu kronisme yang melibatkan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin.

Bagi Keadilan, isu yang melibatkan Anwar dan terjejasnya institusi demokrasi adalah merupakan isu politik yang perlu dihadapi dan ditangani oleh Mahathir, kata Abdul Rahman.

"Jika Dr Mahathir terus menutup isu fitnah dan konspirasi terhadap Anwar, adalah sukar bagi orang Melayu untuk melihat Dr Mahathir serius dan ikhlas untuk menyelesaikan permasalahan orang Melayu," katanya lagi.

Jangan menipu diri

Beliau menyeru Mahathir supaya jangan menipu dirinya sendiri dalam kebenaran ini dan menggesanya membuat penjelasan dengan terang dan jujur mengenai isu itu semasa ucapan penggulungan beliau diakhir perhimpunan agung Umno.

Abdul Rahman berkata demikian ketika mengulas ucapan Mahathir semasa perasmian perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pagi ini.

"Sekiranya didalam ucapan Mahathir, beliau mendakwa telah diterima oleh masyarakat dunia sebagai pemimpin Islam, beliau juga harus mengakui kemana sahaja beliau pergi isu Anwar terus diperkatakan termasuk semasa lawatan beliau ke Amerika Syarikat," katanya.

Abdul Rahman juga berkata bahawa Mahathir masih gagal menangani isu kronisme yang melibatkan Daim.

"Banyak tindakan Daim termasuk memberi peluang perniagaan kepada kroninya yang pada akhirnya gagal dan menyebabkan imej Melayu tercalar, juga tidak ditangani oleh Dr Mahathir secara terbuka," kata beliau.

Didalam ucapannya pagi tadi, Mahathir telah menegaskan bahawa orang Melayu sudah tidak lagi mengutamakan perpaduan dan senang di pecahbelahkan oleh apa sahaja termasuk perebutan tempat dalam parti, sangkaan buruk terhadap pemimpin, kehilangan peluang perniagaan, hasutan parti lawan dan perassan terlalu terselamat.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In