Seorang aktivis pembangkang mendakwa polis memukulnya ketika beliau sedang bersurai daripada satu perhimpunan Selasa lalu bagi menyokong Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional Mohamad Ezam Mohd Nor yang ditahan awal minggu ini.

Penolong Setiausaha Pemuda parti itu Diong Chi Tzuoh berkata beberapa orang anggota polis berpakaian biasa memukul dan menendang badannya sehingga mengalami kecederaan.

"Saya berasa sangat sakit kerana selain daripada tangan saya diikat (digari), saya juga dipukul dan ditendang pada beberapa bahagian badan, sehingga bahagian tangan, dada dan kaki kanan tercedera," katanya dalam satu laporan polis hari ini, satu salinannya diperolehi malaysiakini .

Diong ditahan ketika polis menyuraikan lebih 50 penyokong Ezam yang sedang mengadakan acara menyalakan lilin dan menyanyikan lagu di luar balai polis Jalan Tun HS Lee sekitar jam 9.15 malam itu.

Beliau adalah antara sembilan penyokong pembangkang yang turut ditahan dalam kejadian yang sama dan semuanya dibebaskan petang semalam dengan jaminan polis. Mereka yang ditahan termasuklah pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FreeAnwar Campaign) Raja Petra Kamaruddin, isterinya Marina Abdullah dan dua lagi wanita.

Dalam aduan yang diserahkan di balai polis yang sama tengahari tadi, Diong mendakwa walaupun beliau telah mengikut arahan polis untuk bersurai, beliau ditendang oleh polis yang berpakaian seragam dan juga berpakaian biasa ketika berjalan ke tempat letak kereta.

Tambah Diong, tangannya ditarik ke belakang dengan kasar dan beliau ditolak ke atas jalan dan dipijak untuk beberapa ketika. Sepanjang serangan itu, polis tidak memberitahu beliau akan ditahan, katanya lagi.

Dalam kenyataan akhbar hari ini, Diong berkata selepas beliau dibawa ke balai, permintaannya untuk membuat aduan polis dan berjumpa dengan doktor tidak diendahkan oleh pegawai polis yang menahannya yang hanya dikenali sebagai "Zaki".

"Malah permintaan untuk segelas air kosong pun ditolaknya. Saya betul-betul haus dan hanya perlukan air kosong," katanya, sambil menambah beliau hanya berjaya mendapat rawatan doktor selepas dibebaskan.

Diong juga bercadang membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung dakwaan keganasan polis itu.

"Saya sedia bekerjasama dengan polis semasa dibawa ke balai polis. Malangnya, polis telah bertindak kasar dan melampaui batas dalam menjalankan tugas mereka," katanya.