Keadaan Fadzil Noor bertambah baik
Keadaan Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor semakin bertambah baik setelah hampir dua minggu terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, kerana menjalani pembedahan pintasan pembuluh jantung.
Menurut Setiausaha Politiknya, Dr Hatta Ramli, ketua pembangkang yang berusia 65 tahun itu kini mampu memberikan tindakbalas yang lebih baik terhadap kepada soalan yang diajukan kepadanya.
"Secara keseluruhan, beliau (Fadzil) telah mengalami pemulihan yang agak baik sejak menjalani pembedahan tersebut," Hatta memberitahu malaysiakini.
"Malahan, kami juga boleh memahami apa yang cuba diberitahunya melalui cara beliau memberikan tindakbalas," tambah Hatta.
Disoal bilakah Fadzil dijangka akan dikeluarkan dari wad ICU, Hatta berkata, itu bergantung kepada keputusan doktor.
"Buat masa ini beliau masih lagi diberikan rawatan rapi oleh doktor-doktor pakar," katanya lagi.
Fadzil, yang juga merupakan ahli parlimen Pendang, dikatakan berada di dalam keadaan kritikal sejak menjalani pembedahan pada 10 Jun lalu dan berada di dalam keadaan tidak sedarkan selama seminggu.
Pada 10 May lepas, Fadzil telah dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu selepas mengadu sakit dada, tetapi keadaan kesihatannya terus merosot kerana dipercayai akibat beban kerja setelah menghadiri Muktamar tahunan parti di Kota Bharu hujung bulan lalu.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now