Badan Perhubungan Umno Kedah mempersoalkan tindakan Menteri Besar Terengganu Datuk Abdul Hadi Awang menggubal undang-undang hudud untuk negeri itu sedangkan sebelum itu beliau mempengerusikan jawatankuasa pengubal hudud bagi Kelantan.
"Kenapa undang-undang Kelantan itu tak dibawa ke Terengganu, jadi saya nak tanya orang PAS berapa jenis hudud dalam Islam dan yang mana satu hudud Allah," kata wakilnya Mohamad Kamal Saidin ketika membahaskan usul agama di perhimpunan agung Umno hari ini.
Bernama melaporkan beliau sebagai berkata,satu perkara yang jelas mengelirukan ialah undang-undang hudud Kelantan tidak mempunyai satu seksyen yang menyebut soal penderhaka negara sedangkan ia ada di dalam hudud Terengganu.
Mohamad Kamal berkata menurut Hadi ia tidak menyebut soal penderhaka negara kerana ia merupakan masalah khilafiah (perselisihan pendapat antara ulama) dan boleh digantikan dengan hukum takzir yang telahpun dilaksanakan kerajaan untuk menghukum mereka yang bersalah.
Dengan itu, katanya, jelas pimpinan PAS Kelantan dan Terengganu menggubal undang-undang hudud semata-mata untuk mengekalkan kuasa mereka walaupun jelas mereka membohongi Allah dan penduduk negeri itu.
"Kalau di Kelantan (Menteri Besar Datuk) Nik Aziz (Nik Mat) boleh mengekalkan kuasanya dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dan dengan harapan yang sama (Menteri Besar Terengganu Datuk Seri) Abdul Hadi (Awang) akan membentangkan Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) pada persidangan DUN bulan depan," katanya.
Umno Kelantan pula menggesa pemimpin Umno mengambil tindakan segera terhadap PAS, termasuk mengharamkan parti itu yang didakwanya cuba meruntuhkan masyarakat Islam di negara ini.
Peralatkan agama
Wakil PAS Kelantan, Zaid Ibrahim, berkata kerosakan yang akan dibuat oleh PAS ke atas masyarakat Islam akan lebih dahsyat jika mereka terus dibiarkan berpolitik.
Bernama melaporkan beliau sebagai berkata PAS sebuah parti yang ganas, bertopengkan agama dan menggunakan agama untuk kepentingan politik.
"Sejarah membuktikan parti yang bertopengkan agama adalah ganas seperti parti Likud di Israel," katanya sambil menambah parti Likud mendakwa Tuhan telah menghalalkan pembunuhan masyarakat Palestin.
"Saya percaya sudah sampai masanya kita tutup PAS. Haramkan ia," katanya yang disambut tepukan gemuruh perwakilan.
Umno Perak pula mahu Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Tun Hussein yang juga Menteri Belia dan Sukan supaya tidak hanya terlalu menumpukan kepada kegiatan sukan sehingga mengabaikan peranan belia.
Wakil Badan Perhubungan Umno Perak Ahmad Hasbullah Alias berkata, Jabatan Belia dan Sukan perlu mempunyai seorang pegawai agama dari kalangan belia yang dapat bergaul lebih erat dengan golongan muda.
Katanya, golongan belia yang merupakan pewaris masa depan perlu diberi perhatian bagi mengelakkan generasi Islam akan datang terdiri daripada mereka yang rosak jiwa dan akhlak.
