Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, berkata kekecewaan yang dilahirkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Umno kerana gagal mengubah sikap orang Melayu, sebenarnya tidak ada kena mengena dengan orang Melayu yang menyokong parti PAS.

"Yang tidak berubah adalah orang Umno. Yang kedekut dan pemalas adalah orang Umno. Yang tamakkan kuasa adalah orang Umno. Yang buat salah tetapi dilindungi dan tidak mengaku salah ialah orang Umno," hujah Nik Aziz dalam kenyataannya kepada malaysiakini hari ini..

Oleh itu, katanya, kegagalan yang dialami oleh orang Melayu sebenarnya adalah 'kegagalan Umno' sendiri.

Nik Aziz juga menyifatkan pengakuan Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri itu adalah tepat kerana memang banyak bukti yang menunjukkan kegagalan beliau, antaranya orang Melayu merupakan kaum paling ramai menagih dadah, ketinggalan dalam pelajaran, miskin dan menyalahgunakan kuasa.

"Ini bertentangan dengan sikap orang PAS. Mereka yang berkecenderungan kepada agama kini telah menunjukkan perubahan positif seperti menjadi rajin dan pemurah," katanya.

Beliau turut menyelar kerajaan Barisan Nasional yang diterajui Umno sebagai tidak berpendirian tetap, seperti dalam penggunaan Bahasa Melayu di sekolah (yang kini beralih kepada Bahasa Inggeris), tulisan Jawi kepada tulisan Rumi, serta sebutan bahasa baku.

"Dulu (pemimpin Umno) kata Islam tidak boleh dilaksanakan (di Malaysia) kerana masyarakat majmuk, sekarang negara diisytiharkan negara Islam walaupun masyarakat masih majmuk," tambah Nik Aziz.

Nik Aziz turut melahirkan simpati beliau kepada orang Melayu kerana bila ada usahawan Melayu gagal di dalam perniagaan, merekalah yang menjadi mangsa untuk menyelamatkan kewangan individu tersebut.

Cintakan syariat Islam

Tambahnya, Umno pernah mencabarkan Kelantan supaya menggubal undang-undang Islam, tetapi selepas itu menyekat pelaksaannya.

Katanya, nasib yang sama mungkin diterima kerajaan PAS Terengganu dalam soal pelaksanaan undang-undang Hudud dan Qisas.

Selain itu, Nik Aziz berkata bahawa pemimpin Umno juga sering mempersendakan Islam yang didokong oleh orang Melayu, seperti mahukan al-Quran ditafsir semula dan memperlekehkan janggut Nabi Muhammad.

"Semuanya seakan-akan menyemai benih-benih penolakan semangat takwa dan cintakan syariat Islam, dan bagaimanakah orang Melayu akan menghormati ini semua," katanyaa.

Oleh itu, Nik Aziz berkata beliau tidak akan terkejut sekiranya lebih ramai lagi orang Melayu akan menolak Umno dalam pilihanraya umum yang akan datang, sepertimana yang berlaku pada tahun 1999.

"Orang Melayu memilih kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sebab itu mereka di Terengganu dan Kelantan tetap memilih PAS walaupun mereka tahu PAS adalah parti miskin.

. "Sebenarnya orang Melayu bingung kerana pemimpin (Umno) sendiri tidak jelas dalam membawa rakyat ke destinasi mana," kata Nik Aziz.