Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemimpin Pemuda PAS Kelantan dan Angkatan Muda PKR Pulau Pinang dituntut memohon maaf dan menarik balik aduan polis yang dibuat terhadap penganjuran demonstrasi di dua negeri tersebut awal minggu ini.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berkata laporan polis itu – berhubung perhimpunan di Kota Bharu pada Selasa lalu dan Georgetown sehari sebelumnya – jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi yang diuar-uarkan Pakatan Rakyat.

shazni-munir-mohd-ithnin "Mereka juga kena mohon maaf kepada rakyat Malaysia secara terbuka kerana tidak jujur dalam memperjuangkan hak rakyat untuk berhimpun," kata Presiden NGO itu Shazni Munir Mohd Ithnin kepada Malaysiakini hari ini.

"Kita juga desak supaya mereka memastikan semula sikap mereka terhadap demonstrasi. Jika benar mereka berpendapat demonstrasi yang aman boleh mengganggu kestabilan politik, maka mereka perlu isytiharkan sikap tersebut."

Kelmarin, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan mempertahankan tindakan pemimpinnya membuat aduan polis agar mengambil tindakan menghalang satu demonstrasi anjuran kumpulan Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan (JRPK) di depan kompleks Kota Darulnaim.

Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin pula berpendirian, Pakatan Rakyat tidak pernah mempunyai polisi untuk menggesa polis menahan peserta demostrasi.

Mengulas pendirian dua pemimpin Pemuda tersebut, Shazni Munir berkata Pemuda PAS Kelantan dan AMK Pulau Pinang perlu mengambil sisi politik "yang matang dan tidak oportunis."

Tambahnya, tindakan Pemuda PAS itu dilihat 'oportunis' selepas parti itu mengukuhkan kedudukannya di Kelantan, seperti juga Angkatan Muda PKR di Pulau Pinang selepas pilihan raya umum lalu.

"(Aduan polis) ini berlawanan dengan sikap mereka sebelum dapat mengukuhkan kedudukan di Kelantan dan sebelum dapat memerintah Pulau Pinang.

"Kita nampak pemimpin ini tidak jujur dan bersifat memilih dalam menggunakan hak berhimpun," kata Shazni Munir, yang juga presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya, ketika dihubungi.

Katanya lagi, kedua-dua pergerakan Pemuda tersebut perlu memohon maaf kepada rakyat yang memilih mereka sebelum ini yang menyokong demonstrasi untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas prinsip kebebasan berhimpun.

"Tapi kenapa selepas pegang kuasa, bila rakyat guna pendekatan sama untuk suarakan bantahan, kenapa mereka guna pendekatan sama seperti Umno dan BN untuk halang hak berhimpun?" katanya.

ADS