Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yakin timbalan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan meneruskan usaha yang dirintis oleh Datuk Fadzil Noor ke arah perpaduan umat Islam di negara ini.
Presidennya, Azam Abdul Rahman berkata, kehadiran bersama Abdul Hadi sewaktu berlangsungnya ucapan perdana di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini, memperlihatkan bahawa beliau turut berkongsi bersama visi Fadzil itu.
Dalam majlis itu, anjuran Abim dan DBP bagi menyatakan sokongan umat Islam di Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin menentang kekejaman Israel, presiden PAS itu dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, telah menyampaikan ucapan perdana masing-masing.
Fadzil yang juga ketua pembangkang, meninggal dunia jam 10.30 pagi ini selepas menjalani pembedahan pintasan pembuluh jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada 10 Jun lalu.
Jenazah Allahyarham akan dibawa balik ke Kedah untuk dikebumikan di kawasan perkuburan Islam Muassasah Darul Ulum, selepas sembahyang Asar hari ini.
Mengulas mengenainya, Azam berkata, pihaknya mengangggap pemergian Fadzil sebagai satu kehilangan besar kerana usaha beliau ke arah perpaduan ummah baru bermula.
"Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar dan kita berharap penggantinya akan meneruskan apa yang telah dirintis Allahyarham," tambahnya.
Azam menyifatkan Fadzil, yang pernah menjadi pemangku presiden Abim pada 1974, sebagai seorang pemimpin berjiwa besar dan meletakkan kepentingan Islam dan ummah sebagai asas perjuangannya.
"Beliau adalah seorang pemimpin yang berprinsip dan sentiasa terbuka untuk berbincang dengan sesiapa sahaja demi perpaduan ummah," katanya.
Oleh itu, Azam yakin Abdul Hadi akan memastikan kesinambungan usaha Fadzil ke arah itu.
