Kepimpinan Umno: ramai ramal berlaku perebutan kuasa
Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) Dr Syed Husin Ali tidak menolak kemungkinan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengubah fikirannya sekali lagi berhujung kepimpinan tertinggi negara di dalam tempoh 15 bulan akan datang.
Dalam kenyataanya, beliau berkata, kepimpinan Umno akan teruji menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti itu dalam perhimpunan agung tahunannya, yang dijangka diadakan pertengahan tahun depan.
"(Dalam pemilihan parti) tentu akan berlaku perebutan kuasa kerana siapa saja yang menjadi Presiden Umno yang baru, akan menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Mahathir," katanya.
Proses ini, kata Syed Husin, akan mengakibatkan perpecahan yang akan melemahkan lagi Umno di samping menjejaskan kedudukan Mahathir.
Sabtu lalu, Mahathir membuat kejutan apabila mengumumkan di hadapan lebih 2,000 perwakilan di hari penutup Perhimpunan Agung Umno, hasratnya untuk melepaskan semua jawatannya dalam Umno dan kerajaan. Beliau kemudian menarik balik hasratnya apabila dipujuk oleh para pemimpin parti.
Semalam, Abdullah memberitahu sidang media selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno bahawa Mahathir telah memutuskan untuk cuma terus kekal sebagai pemimpin Umno dan negara sehingga Oktober tahun hadapan. Selepas itu Abdullah akan menjadi penggantinya.
Mengulas lanjut, Syed Husin berkata, buat masa ini, masih belum jelas kenapa Mahathir ingin berundur dari jawatannya, sehingga beliau sendiri tampil untuk membuat penjelasan mengenainya.
Tolak ansur
"Kita hanya mendengar kenyataan dari (ahli) Majlis Tertinggi. Oleh kerana belum jelas lagi mengapa beliau mengambil keputusan mendadak ini, dan sekarang ini, kita diberitahu beliau mengubah fikirannya pula, maka masih perlu bagi Mahathir membuat kenyataannya sendiri untuk menenangkan suasana," katanya.
Syed Husin menambah, sekiranya Mahathir tidak membuat kenyataan, ia akan memberikan gambaran seolah-olah Mahathir "dipaksa" meletakkan jawatan dan satu "rampasan kuasa" telah berlaku dalam pimpinan Umno.
Tempoh peralihan setahun setengah, katanya, bukanlah merupakan suatu perancangan yang telah difikirkan terlebih awal tetapi merupa tolak-ansur yang dicapai antara ahli Majlis Tertinggi dengan Mahathir.
Setiausaha Agung PAS Nasharudin Mat Isa pula berpendapat tempoh yang terlalu lama bagi Mahathir meletakkan jawatan boleh menimbulkan pelbagai ketidaktentuan dalam kepimpinan tertinggi Umno dan negara.
"Apakah Mahathir masih lagi ragu-ragu dengan kredibiliti (timbalannya) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sehingga menetapkan satu tempoh peralihan kuasa yang sungguh panjang," soal Nasharudin.
"Selain itu, tindakan Mahathir juga akan turut menimbulkan spekulasi mengenai jawatan-jawatan lain dalam parti dan Kabinet," katanya.
Oleh itu, beliau mengingatkan bahawa ketidaktentuan yang berlaku boleh menjejaskan prestasi ekonomi negara yang masih di dalam proses pemulihan.
Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, berkata kedudukan Abdullah mungkin tidak terjejas disebabkan jaminan perdana menteri sendiri, tetapi beliau tidak menolak kemungkinan berlaku perebutan bagi jawatan timbalan presiden Umno.
Cabaran getir
"Pemilihan bagi jawatan nombor dua inilah yang akan menentukan sejauh manakah ketahanan Abdullah sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri," kata Lim.
Sementara itu, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ibrahim Ali, yakin bahawa pengunduran Mahathir tidak akan sama sekali menjejaskan parti dan negara.
"Umno merupakan sebuah parti yang matang selepas mengalami pelbagai cabaran getir, dan kesemuanya telahpun ditangani sebaik mungkin," kata Ibrahim, yang juga bekas timbalan menteri.
"Peristiwa (peralihan kuasa) ini adalah satu perkara yang terlalu kecil berbanding dengan peristiwa berdarah 13 Mei (1969), pengharaman Umno pada 1987 dan pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998," katanya.
Yang penting, kata Ibrahim, ialah rakyat negara ini terus memberi keyakinan kepada kerajaan untuk menghadapi cabaran getir globalisasi sekarang.
"Walau siapa pun yang menggantikan Mahathir, yang pentingnya ialah kita perlu memperkukuhkan pertahanan negara dalam menghadapi ancaman bentuk baru ini," katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shahrir Samad berpendapat bahawa soal perubahan pucuk pimpinan Umno bukanlah menjadi masalah kepada parti atau negara.
"Yang pokoknya, kita telah melihat suatu proses tolak ansur yang berjalan dengan baik bagi memastikan peralihan kuasa dapat berjalan dengan lancar," kata Shahrir.
"Sebenarnya, tidak ada apa-apa isu yang sepatutnya timbul dari peristiwa ini," tambahnya.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now