Muslimat PAS terlepas peluang letak calon wanita di Pendang
Muslimat PAS Kedah terlepas 'peluang keemasan' untuk meletakkan calon wanita untuk bertanding bagi kerusi parlimen Pendang, dalam pilihanraya kecil bulan depan kerana ketiadaan calon yang sesuai.
Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Wan Tom Wan Md Noor, Jawatankuasa PAS Pusat telah menyarankan supaya PAS Kedah mencari seorang calon wanita untuk kerusi parlimen tersebut, tetapi malangnya tiada calon yang sesuai untuk memikul tugas itu.
"Sebenarnya agak sukar untuk mencari seorang calon yang boleh menyaingi kehebatan Allahyarham Datuk Fadzil Noor, terutamanya dari segi personaliti dan karismanya, apatah lagi jika calon tersebut adalah wanita," katanya kepada malaysiakini .
"Tetapi, itu tidak bermakna Muslimat PAS Kedah tidak mempunyai calon wanita yang berkelayakan, tetapi hakikatnya bukanlah mudah untuk mencari seorang calon boleh menggantikan tempat Fadzil," jelasnya.
Katanya, mungkin tiada calon dalam parti itu yang dapat menyaingi Fadzil yang merupakan seorang tokoh terkenal di dalam dan luar negara.
Bagaimanapun, kata Wan Tom, siapa juga calon yang dipilih oleh parti itu untuk bertanding kerusi berkenaan, akan mempunyai kualiti yang hampir dengan Fadzil.
"Salah seorang yang mungkin dicalonkan ialah Pesuruhjaya PAS Kedah, Azizan Abdul Razak, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sala," katanya.
Pemilihan calon
Selain Azizan, yang juga merupakan ketua penerangan PAS, nama Datuk Dr Haron Din dan Dr Amar Fadzil, turut disebut-sebut kemungkinan dipilih bertanding bagi Parlimen Pendang.
Dr Haron, seorang penceramah politik, merupakan bekas pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala Amar ialah anak Fadzil yang kini bertugas sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam.
Calon PAS bagi kerusi Parlimen Pendang mungkin berhadapan dengan Ketua Bahagian Umno Pendang Datuk Othman Abdul, iaitu bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, dan juga bekas pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Di dalam pilihanraya umum 1999, Fadzil berjaya menewaskan Othman dengan majoriti 2,900 undi.
Fadzil, yang juga Ketua Pembangkang, meninggal dunia pada Jun 23 di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas kira-kira dua minggu menjalani pembedahan pintasan pembuluh jantung.
Kematian Fadzil juga turut menyebabkan kekosongan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kawasan Anak Bukit, Kedah.
Sementara itu, Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya Wan Ahmad Wan Omar, berkata semalam tarikh piliharaya kecil bagi kawasan Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri Anak Bukit mungkin diumumkan Sabtu ini.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now