Kenapa Steven, Premesh sasaran media pro-Mahathir?
Perang sedang diletuskan oleh seorang boss media yang cuba memenuhi agenda 'maha boss .' Untuk menunjukkan dia sebagai perkakas yang masih berguna, malaysiakini dijadikan beg untuk ditinju (punching bag).
Dalam siri serangan itu setakat ini, visual televisyen memaparkan dua pemimpin utama akhbar web ini, editor Steven Gan dan ketua pegawai eksekutif Premesh Chandran. Imej ini mempunyai niat yang hodoh - menunjukkan muka bukan Melayu sebagai 'alat Barat.'
Serangan siri pertama bermula di laman web Umno - kononnya wujud usaha bukan Melayu di sebalik malaysiakini untuk memporak-perandakan negara ini. Kononnya terdapat kumpulan wartawan bukan Melayu yang cuba menggagalkan usaha 'penyatuan Melayu' antara Umno-PAS.
Dalam serangan sistematik itu, tulisan web Umno sengaja menyembunyikan nama-nama wartawan Melayu, termasuk penulis sendiri. Senarai panjang wartawan bukan Melayu di malaysiakini sengaja ditonjol-tonjolkan untuk menunjukkan kononnya terdapat 'ancaman serius' tersebut.
Dalam konteks yang sama, terdapat serangan untuk mengasingkan wartawan Melayu daripada malaysiakini - kononnya mereka ini 'tergila-gila' ingin menjadi wartawan dan tidak sedar sedang 'diperalatkan' oleh rakan-rakan bukan Melayu.
Sebagai parti yang tertipu dengan propaganda rekaan mereka sendiri, Umno melalui laman webnya masih diperangkap tempurung perkauman walau realiti berpolitik sejak reformasi mencetuskan sejenis budaya baru.
Setelah menyedari serangan mereka sepanjang setahun lalu gagal mengaitkan malaysiakini dengan pembangkang, mereka cuba menggunakan 'dasar-pecah-dan-perintah' seperti pernah digunakan penjajah Inggeris dan strategi ini suka pula diperalatkan oleh Dr Mahathir Mohamad.
Bukan Melayu tidak setia?
Masakan mereka berjaya, media pro-Mahathir terpaksa juga merujuk malaysiakini untuk mengetahui pergolakan-pergolakan utama politik pembangkang, misalnya dalam Parti Keadilan Nasional. Oleh itu, usaha mereka tidak sepenuhnya berjaya - kalaupun tidak gagal mutlak.
Lalu serangan dibuat terhadap Steven secara peribadi dan mengaitkannya dengan anasir-anasir luar. Antaranya disebut, editor malaysiakini pernah bertugas dengan sebuah 'akhbar pembangkang' di negara luar, menerima anugerah kebebasan akhbar di Amerika Syarikat dan sampai ke peringkat kononnya bersedia menerima biaya daripada Yahudi, George Soros.
Mereka cuba menimbulkan sentimen lapuk dan tanggapan palsu yang mereka semai sejak lama dahulu - kononnya orang bukan Melayu tidak setia dengan negara ini atau sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan wang. Tiada secebis pun rasa patriotisme atau kesetiaan dalam diri orang bukan Melayu kepada negara ini yang dianggap 'tanah Melayu'.
Apabila serangan itu banyak dijawab oleh Premesh sebagai CEO syarikat, serangan itu beralih kepada kedua-duanya. Setakat ini tidak pernah wujud serangan terhadap petugas Melayu malaysiakini , misalnya terhadap saya sendiri - sama ada cuba mengaitkan saya dengan aktiviti pembangkang atau reformasi, atau aktivisme kepenulisan saya yang 'keras' di laman-laman web proreformasi.
Tetapi sejak sehari dua lalu, serangan dipakejkan kepada kegiatan Steven dan Premesh di luar negara pula. Visual tentang kegiatan mereka berdua di luar negara - istilah yang digunakan ialah 'membuat kekacauan' di Sidang Puncak Alam Sekitar di Brazil pada 1992. Lebih lucu lagi, untuk meneruskan agenda hodoh, mereka sanggup menunjukkan kononnya Premesh bertindak 'keanak-anakan' dan tanpa rasa malu ia dipaparkan sebagai 'berita'!
Kononnya dengan serangan secara peribadi dua pemimpin utama akhbar web ini akan mengurangkan rasa hormat atau keraguan pembaca terhadap pengendali malaysiakini .
Kedua, tujuannya tidak lari daripada usaha menggoncangkan fikiran dan perasaan supaya kita akan kacau, letih dan akhirnya tunduk kepada media assault yang mereka lancarkan sejak awal Februari lalu. Apabila hilang pertimbangan, maka kita mudahlah membuat kesilapan atau tidak lagi menumpukan perhatian kepada tugas seharian.
Sebenarnya semua itu bertujuan menyebabkan orang ramai membenci atau hilang keyakinan terhadap malaysiakini . Dengan itu orang ramai tidak membaca atau jika membaca sekalipun, tidak akan mempercayai akhbar web harian ini.
Apabila orang tidak mempedulikan malaysiakini , maka kawalan mutlak saluran maklumat (baca: minda rakyat) jatuh di tangan Mahathir. Strategi ini berdiri atas andaian bahawa rakyat Malaysia semuanya bodoh dan kerajaanlah satu-satunya sumber kecerdikan.
Kewibawaan bukan ertinya monopoli
Tetapi boss itu tidak sedar dia telah terperangkap dalam propaganda mainannya sendiri. Berbeza dengan malaysiakini , media pro-Mahathir memaksa kita menelan mentah-mentah maklumat yang disampaikan - sama ada separuh benar, tiga suku benar atau putar-belit semata-mata. Kerajaan kita takut rakyat banyak berfikir dan banyak bertanya.
Oleh itu, media dijuruterakan agar menggagalkan usaha orang ramai berfikir dan bertanya - ia berkaitan pula dengan kebebalan menteri-menteri atau pegawai-pegawai kanan kita memberikan jawaban-jawaban yang memuaskan dan munasabah, jauh sekali bijaksana.
Kredibiliti media - pada falsafah otak mereka - berkaitan dengan keupayaan pembaca atau penonton menerima bulat-bulat cebisan maklumat tanpa berfikir. Tetapi tujuan bahan terbitan malaysiakini berbeza, bukan untuk disuap dan ditelan mentah-mentah.
Sebagai media pembebasan ( liberating force ), akhbar web ini memberikan pandangan kedua atau alternatif supaya pembaca boleh membandingkan (dengan maklumat yang didapati daripada sumber lain), berfikir, berhujah dan mengambil keputusan serta sikap dalam isu-isu tertentu.
Malaysiakini tidak takut saingan daripada media pro-Mahathir kerana kita tidak bertujuan mengongkong, membolot atau memonopoli. Kita tidak perlu menjuruterakan maklumat supaya orang mempercayai seratus peratus tanpa soal.
Tujuan kita pembebasan alam fikir, bukannya taklid buta. Lagipun malaysiakini enggan berpropaganda kerana ia tidak perlu menjawab ribuan dasar kerajaan Mahathir yang berbelit-belit atau diamalkan secara double standard .
Dalam bahasa yang lebih ringkas, kredibiliti malaysiakini akan ditentukan apabila ia makin popular sebagai wahana yang membawa wacana masyarakat. Serangan media pro-Mahathir itu, mujurlah, serves the purpose (selari dengan hasrat kita). Dalam keadaan media pro-Mahathir sendiri hilang wibawa, kejayaan malaysiakini hanyalah dengan memberikan fakta seadanya - tanpa apa-apa spin seperti yang dijuruterakan oleh boss itu.
Kejayaan akhbar web ini ialah apabila orang ramai mempertikaikannya, berhujah demi menunjukkan siapa yang lebih baik pandangan serta laporannya. Itulah kejayaan malaysiakini - apabila kita diminati kerana berupaya menyalurkan pelbagai sudut pandang, menjadi tempat mencerahkan minda dan sedikit kontroversi (akibat perbezaan idea). Inilah asas dan ruang 'kewibawaan' kita.
Kita cukup percaya usaha seperti ini memerlukan masa dan tidak perlu digopoh-gapahkan. Oleh itu, serangan media pro-Mahathir tidak mampu menimbulkan rasa kurang yakin terhadap malaysiakini .
Ya, mereka akan gagal jika terus bermain di lubuk yang kita telah sedia menahan tali pancing.
FATHI ARIS OMAR adalah editor berita malaysiakini


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.