mk-logo
Berita
Seorang maut, 19 cedera gas meletup
Diterbitkan:  Dec 14, 2009 12:42 PM
Dikemaskini: 12:43 PM

Seorang pekerja pemasangan gas terbunuh, manakala 19 lagi cedera termasuk tiga parah dipercayai berpunca letupan gas LPG

sewaktu ujian pemasangan gas di sebuah rangkaian gedung beli-belah Aeon Jusco di Jalan Tun Razak-Peringgit di Melaka hari ini.

Dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu, mangsa Tau See Peng, 25, dari Batu Pahat, Johor, mati di kawasan medan selera di gedung beli-belah yang bakal dibuka kepada orang ramai Khamis ini.

Penolong Pengarah (Operasi) Bomba dan Penyelamat Melaka R Ezhumalai berkata siasatan awal mendapati berlaku kebocoran gas dan saksi mendakwa berlaku satu letupan kuat yang berbunyi sekali sahaja.

"Semasa bomba tiba, dua mangsa telah dikeluarkan dari kawasan medan selera itu oleh orang awam, manakala dua lagi pekerja yang terperangkap dikeluarkan oleh bomba," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa dipercayai mati kerana dihempap siling yang terjatuh akibat letupan itu yang mengenai lehernya.

Katanya, mangsa ketika itu dengan beberapa pekerja lain sedang melakukan ujian dan pemasangan LPG kepada penyewa di kawasan medan selera itu yang terletak di tingkat bawah.

Mayat mangsa dihantar ke Hosital Melaka untuk bedah siasat dan polis telah memagar kawasan itu untuk siasatan lanjut.

Beberapa mangsa yang cedera dipercayai kebanyakannya pekerja warganegara Indonesia.

Seorang penyewa kedai makan itu Zulmakmun Hakem Md Zain, 21, bersama kakaknya terdengar bunyi letupan sebelum bergegas keluar untuk menyelamatkan diri.

"Saya nampak siling runtuh dan jatuh, cermin pecah bertaburan dan terhidu bau gas bocor," katanya kepada pemberita. BERNAMA

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini