Ramai muslimat layak jadi calon: Dr Lo Lo

comments     Yusof Ghani     Published     Updated

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Lo' Lo' Ghazali hari ini menyangkal kenyataan Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Wan Tom Wan Md Noor bahawa tidak ada calon wanita yang sesuai untuk dicalonkan bertanding dalam pilihanraya kecil bagi kerusi parlimen Pendang.

"Saya tidak bersetuju dengannya dalam hal ini kerana saya tahu ada ramai muslimat PAS yang berkelayakan untuk bertanding di sana, tetapi saya rasa tidak perlulah bagi saya menyebut nama mereka," kata Lo' Lo'.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan Wan Tom bahawa mungkin tidak ada calon yang mampu menyaingi karisma dan kewibawaan Allahyarham Datuk Fadzil Noor, walaupun dari kalangan lelaki sendiri. "(Tetapi) kita bukanlah mencari seorang calon wanita untuk menggantikan tempat Fadzil sebagai presiden parti, hanya sekadar seorang ahli Parlimen, berikutan kematian beliau," ujar Lo' Lo' ketika dihubungi malaysiakini .

"Apa yang kita mahukan sekarang ialah calon-calon bagi kawasan Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri Anak Bukit, dan bukannya seorang yang bakal menggantikan Fadzil sebagai seorang tokoh terkenal di dalam dan luar negara.

"Oleh itu, saya tidak nampak kenapa kita tidak boleh meletakkan calon wanita di sana," tambah Lo' Lo'.

Semalam, Wan Tom berkata Jawatankuasa PAS Pusat telah mempelawa PAS Kedah untuk mencari seorang calon wanita bagi pilihanraya kecil kerusi Parlimen Pendang, tetapi malangnya tidak ada calon yang sesuai.

Penamaan calon

Katanya adalah sukar untuk mencari seorang calon yang boleh menyaingi personaliti dan karisma Fadzil, apatah lagi dari kalangan wanita.

Walaupun Wan Tom tidak bermaksud tidak ada langsung Muslimat PAS yang berkelayakan, beliau berkata, seseorang calon yang menggantikan Fadzil mestilah seseorang yang mampu menyainginya kehebatannya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Nasharudin Mat Isa berkata parti itu belum lagi memutuskan bakal calon untuk kerusi Pendang dan Anak Bukit, yang dijangka bulan depan.

"Buat masa ini, kami sedang menilai beberapa orang calon, tetapi kemungkinan keputusan akan dibuat selepas Suruhanjaya Piliharaya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian (yang dijangka esok)," kata Nasharudin.

Sementara itu, menurut sumber-sumber parti, beberapa nama disebut-sebut bakal dicalonkan untuk bertanding di kedua-dua kerusi tersebut.

Bagi kerusi Parlimen Pendang, salah seorang nama yang disebut-sebut ialah Dr Amar Fadzil, anak Fadzil yang merupakan seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam.

Dua lagi nama yang turut disebut ialah Azizan Abdul Razak, yang merupkan Ahli Dewan Undangan Negeri Sala, yang juga Ketua Penerangan PAS. Turut disebut ialah Dr Haron Din, seorang penceramah politik dan bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia.

Calon Barisan Nasional

Bagi kerusi DUN Anak Bukit, sumber-sumber tersebut menamakan Setiausaha Politik Fadzil, Dr Hatta Ramli sebagai calon yang mungkin dipilih bertanding. Bagaimanapun, Hatta enggan mengulas mengenainya bila dihubungi petang tadi.

Sementara, bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Othman Abdul, disebut-sebut sebagai calon yang bakal mewakili Barisan Nasional (BN).

Di dalam pilihanraya umum 1999, Fadzil telah berjaya merampas kerusi Parlimen Pendang dari Othman dengan majoriti 2,900 undi.

Beliau juga telah memenangi kerusi Anak Bukit dengan mengalahkan calon BN, Abdullah Hasnan Kamaruddin dengan kelebihan 1,840 undi.

Fadzil meninggal dunia Ahad lalu di Pusat Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, selepas dua minggu menjalani pembedahan pintasan pembuluh jantung.

Menurut SPR, kawasan pilihanraya Pendang mempunyai 54,301 pengundi berdaftar manakala Anak Bukit mempunyai 19,800 pengundi, setakat Desember 2001.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In